Kelantan gagal sekat JDT II





KOTA BHARU: Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam kempen Kumpulan A Piala Cabaran selepas tewas tipis 0-1 di tangan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
Tuan rumah terlebih dahulu hampir menghasilkan gol pendahuluan pada minit kesembilan dan minit ke-15 menerusi rembatan deras Nik Azli Nik Alias namun sedikit tersasar.
Bagaimanapun, tuan rumah tersentak seketika apabila pelawat mencipta jaringan pendahuluan pada minit ke-32 hasil hantaran lintang Nicolas Fernandez dan disempurnakan Mohamad Ghaddar dengan tandukan deras tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Yusri Che Lah menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun peluang pada minit ke-40 menerusi bola umpanan Azwan Aripin gagal disudahkan Nik Azli apabila bola rembatan leretnya ditangkap kemas penjaga gol, Haziq Nadzli.
Kelantan dilihat lebih garang di awal permainan pada babak kedua hasilnya pada minit ke-56, Nik Akif  hampir menyamakan kedudukan hasil sepakan leret namun sedikit tersasar.
TRW melakukan serangan demi serangan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat permainan.

Ulasan