SAFAWI Rasid (kiri) meraikan jaringannya bersama Diogo Luis Santo ketika membantu JDT membelasah PKNP FC 5-0 dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Belajar daripada kesilapan dalam pertemuan pertama minggu lalu mendorong Johor Darul Ta'zim (JDT)bangkit dengan aksi amat meyakinkan ketika membenam PKNP FC 5-0 pada saingan Piala Malaysia di Larkin malam tadi.
Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora berkata, pemainnya sedar mereka akan dihukum sekali lagi jika gagal memperbetulkan keadaan di Larkin.
Dalam perlawanan di Manjung pada 16 Ogos lalu, juara Liga Super itu dikejutkan oleh PKNP apabila seri 2-2, namun kesilapan sama tidak berulang apabila kedua-dua pasukan bertemu lagi semalam.
"Perbezaan malam ini (berbanding aksi pertama)...Kami sedar, kalau kami tidak beri 100 peratus fokus, jiwa dan permainan maka masalah akan timbul malam ini.
"Kami berdepan perlawanan sukar ketika di tempat lawan dan gagal mencapai apa yang kami mahukan tetapi bermain di depan penyokong sendiri, kami memberikan aksi terbaik kepada peminat.
"Pemain beraksi dengan cemerlang malam ini dan ia menaikkan semula keyakinan pasukan," kata Mora.
Ini adalah kemenangan terbesar JDT sejak membelasah Terengganu 5-0 dalam aksi Piala Malaysia pada 1 Ogos 2017.
Kali terakhir mereka meledak lima gol adalah ketika menumpaskan Kedah 5-1 juga dalam kempen Piala Malaysia pada 10 Ogos 2018.
Kemenangan itu meletakkan Harimau Selatan selangkah untuk ke suku akhir selepas mengungguli Kumpulan B dengan 10 mata, empat mata mengatasi Petaling Jaya City (PJ City) yang akan menentang UiTM esok.
Dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, penyerang kebangsaan, Safawi Rasid meledak dua gol pada minit ke-36 (penalti) dan 62.
Tiga lagi gol JDT disempurnakan oleh Mauricio (minit ke-13), Gonzalo Cabrera (30) dan sepakan penalti Diogo Luis Santo, minit ke-50.
Sementara itu, penolong jurulatih PKNP, Chan Wing Hoong berkata, pasukannya kini tiada pilihan kecuali menumpaskan UiTM dan PJ City dalam dua baki perlawanan untuk mara ke suku akhir.
"Situasinya sekarang begini, kalau kami gagal menang ke atas UiTM (13 September) dan PJ City (17 September), kami akan terkeluar," kata Wing Hoong.
PKNP yang mengumpul empat mata berada di tangga ketiga kumpulan manakala UiTM menghuni kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan