JDT, Selangor Antara Pasukan Cuba Pancing Pemain Skuad B-18 Negara


Kejayaan skuad kendalian Brad Maloney muncul naib juara Kejohanan AFF Bawah-18 di Vietnam baru-baru ini pantas mencuri tumpuan beberapa Liga Super.
Perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan pemain-pemain ini akan memasuki fasa seterusnya selepas selesai pusingan kelayakan kejohanan AFC Bawah-18 dari 2 sehingga 10 November akan datang.

Menurut laporan Stadium Astro, antara yang mendapat tawaran adalah pemain tengah, Umar Hakeem Suhar Redzuan yang dikatakan telah dilamar oleh juara Liga Super, JDT.
Foto: Astro Arena
Menurut Umar, tawaran tersebut diterima oleh ibu bapa beliau ketika berkunjung ke Johor Bahru pada minggu lalu. Namun demikian pemain tersebut belum membuat sebarang keputusan kerana perlu melakukan beberapa pertimbangan termasuk untuk mendapatkan minit permainan sewajarnya.
“Masa beraksi di atas padang lebih penting buat saya,” jelas Umar Hakeem Suhar Redzuan dalam laporan tersebut.
Mengakui JDT sebagai salah sebuah pasukan yang menarik perhatian beliau, Umar turut mahu melihat sekiranya mendapat tawaran dari kelab lain yang berminat dengan khidmat beliau.


“Keputusan belum dibuat dan cuba menunggu tawaran daripada kelab lain. JDT memiliki barisan pemain yang berkualiti dan saya amat memerlukan waktu beraksi dan ia adalah keutamaan saya,” kata Umar.
Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman
Selain Umar, penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman turut dikatakan telah mendapat tawaran rasmi untuk menyertai Selangor.
Namun pemain produk Akademi Mokhtar Dahari itu terlebih dahulu mahu memberikan fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan cabaran di pusingan kelayakan AFC November nanti sebelum beralih untuk memikirkan masa depannya.
“Saya akan mendapatkan nasihat daripada ibu bapa dan jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari terlebih dahulu mengenai tawaran yang telah diterima,” jelas beliau.

Ulasan