AKSI Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengetuai pasukan Pilihan TMJ menentang Team Media FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam. - Gambar JOHOR Southern Tigers
JOHOR BAHRU 28 Ogos – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terbuka untuk berkongsi kejayaan yang dicipta Harimau Selatan bersama pasukan tempatan lain, dan mahu menjadikan Stadium Sultan Ibrahim, Larkin sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara.
Sebagai permulaan, ibu pejabat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terletak di stadium baharu berkenaan akan dirasmikan pada 4 September ini namun stadium tersebut dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.
“Air mata saya mengalir apabila menyaksikan stadium seperti ini berjaya dibina di JDT. Semua reka bentuk adalah hasil identiti JDT sendiri.
“Ia amat positif buat JDT dan sejujurnya saya tidak sabar dengan perkembangan ini. Harapan saya nak stadium ini jadi yang terbaik di Asia Tenggara.
“Juga mempunyai organisasi yang dikenali dan diiktiraf oleh AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
“Kita terbuka kepada mana--mana pasukan yang ingin datang ke sini dan lihat dengan mata mereka macam mana kita uruskan segalanya,” katanya selepas aksi persahabatan antara Pilihan TMJ dan Team Media FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Stadium baharu skuad Harimau Selatan itu terletak di Iskandar Puteri dengan kapasiti tempat duduk 40,000 hingga 45,000.
Dalam masa sama, Tunku Ismail berkata, pihaknya juga mempunyai beberapa perancangan untuk menjana pendapatan buat kelab.
“Antaranya kita buat padang yang boleh disewa oleh orang ramai. Saya rasa setiap kelab ada perancangan untuk dapatkan hasil dan JDT juga ada cara sendiri. Tetapi saya harap kita dapat sama-sama majukan bola sepa Malaysia,” jelasnya.
Mengulas transformasi yang dilakukan kepada JDT, Tunku Ismail berkata perkara pertama yang dilakukan adalah mengekalkan kualiti padang yang baik dan daripada itu baharu boleh diteruskan dengan langkah kedua.
“Pada mulanya saya belanja RM300,000 untuk kekalkan kualiti padang dan daripada situ baharu ada langkah kedua seperti tukar bilik persalinan dan gym. Tidak perlu buat mahal-mahal dan buatlah ikut kelab masing-masing.
“Orang kata sebelum pakai ukur badan dulu. Tidak perlu membazir dan buatlah secara berperingkat ikut kemampuan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan