Langkau ke kandungan utama

JDT pancing khidmat Daniel

DANIEL yang memiliki kemahiran teknikal berkualiti kini menjadi

DANIEL yang memiliki kemahiran teknikal berkualiti kini menjadi buruan kelab JDT, namun skuad Harimau Selatan tersebut terlebih dahulu perlu menebus kontrak pemain tengah bernilai RM1 juta itu.
BELUM lagi berakhir saingan Liga Malaysia (Liga M), namun sesi jual beli pemain sudah bermula apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) difahamkan giat berbincang dengan Felda United untuk mendapatkan khidmat pemain muda berbakat, Muhammad Daniel Amier Norhisham.
Pihak pengurusan JDT dipercayai sudah mula merisik khidmat Daniel bagi memantapkan skuad Harimau Selatan pada musim depan dan Felda United dikatakan bersedia melepaskan pemain berusia 22 tahun tersebut, asalkan mereka menebus klausa kontrak bernilai RM1 juta tanpa prejudis.
Ketua Jurulatih skuad The Fighters, Mohd. Nidzam Jamil mengesahkan perkara tersebut dengan menyatakan, pihak JDT sudah memulakan perbincangan dan kini hanya menunggu persetujuan antara kedua-dua belah pihak.
“Daniel masih memiliki kontrak bersama kami sehingga penghujung musim 2020 dengan klausa bernilai RM1 juta. Buat masa ini, pihak kami masih berbincang dengan mereka mengenai jumlah pampasan yang sewajarnya.
“Felda United bukan kelab yang mewah seperti dulu dan saya anggap klausa RM1 juta itu setimpal dengan apa yang pasukan telah berikan kepada Daniel, sejak bakatnya dikembangkan bermula pada peringkat akademi (Piala Presiden) sehingga kini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Nidzam mengakui Daniel boleh dianggap sebagai pemain tengah terbaik di Malaysia kerana memiliki kemahiran teknikal berkualiti dan sepatutnya boleh berhijrah ke luar negara.
“Meskipun mustahil untuk kita kekalkan barisan pemain terbaik pasukan, saya tetap gembira andai salah seorang pemain kami mendapat tawaran daripada pasukan yang lebih bagus dan semua tahu JDT memiliki fasiliti berkelas antarabangsa.
“Saya sudah melatih Daniel sejak tahun 2017 dan begitu yakin kualiti yang ada sepatutnya membolehkan dirinya bermain bersama pasukan luar negara, kerana dia memiliki potensi besar selain aset penting buat masa depan bola sepak Malaysia,” katanya.
Difahamkan, selain JDT, beberapa pasukan Liga M termasuk gergasi dari Lembah Klang turut berminat untuk mendapatkan khidmat Daniel tetapi klausa sebanyak RM1 juta itu terlalu tinggi untuk ditebus.
Felda akan fokus pada aksi Piala Malaysia menentang Melaka United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Sabtu ini.

Ulasan