JOHOR BAHRU: Apakah keterujaan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk hadir ke stadium bagi menyaksikan pasukan itu beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sudah ‘hilang’.
Persoalan itu timbul selepas hanya 5,860 penyokong hadir menyaksikan perlawanan membabitkan skuad Harimau Selatan menentang UiTM FC pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia, malam tadi.
Kekurangan penyokong yang tidak mampu memenuhi 20,000 tempat duduk di stadium itu jelas mengecewakan kapten JDT, Hariss Harun yang terkejut apabila penyokong bagaikan tidak lagi memberi sokongan untuk juara Liga Super enam musim berturut-turut itu.
Menerusi kenyataan dalam laman rasmi JOHOR Southern Tigers, Hariss mengakui dia dan rakan sepasukan tidak percaya tatkala JDT selaku pasukan bergelar juara liga, tidak mendapat sokongan daripada penyokong sendiri.
"Saya menyertai JDT pada musim 2014 dan ketika itu amat bangga dengan suasana `Sorakan Larkin' yang kerap menjadi inspirasi saya dan rakan sepasukan beraksi dengan penuh semangat namun aura itu sudah `hilang' pada aksi malam tadi.
"Sejujurnya kami tidak percaya ia terjadi kerana kami fikir selepas muncul juara liga enam kali maka sokongan akan lebih padu daripada penyokong. Tetapi ia tidak berlaku dan dan jika saya perlu berkongsi dengan anda sama ada ia memberi kesan kepada prestasi kami. Sudah tentu beri kesan.
"Tanpa penyokong yang berada di belakang kami pastinya menjadi lebih sukar buat kami sebagai satu pasukan memberikan segala-galanya ketika menentang pasukan lawan," kata Hariss.
Bagaimanapun, rata-rata penyokong yang memberi komen di dalam laman rasmi JDT tampak bersikap negatif dan menyalahkan pihak kejurulatihan yang gagal membentuk corak permainan taktikal menarik berbanding ketika dibimbing jurulatih seperti Mario Gomez, Ulisses Morais dan Raul Longhi.
Ulasan
Catat Ulasan