HARIMAU SELATAN MASIH KEKAL UTUH DALAM SAINGAN PIALA MALAYSIA
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) telah mengharungi pusingan pertama peringkat kumpulan B bagi saingan Piala Malaysia 2019 dengan keputusan positif.
1. TUJUH MATA BERJAYA DIKUTIP
Sehingga kini, tujuh mata telah berjaya dikutip, dua kemenangan dan satu keputusan seri adalah perkara yang boleh dibanggakan. Dengan keputusan ini, JDT sudah pasti menamatkan pusingan pertama dengan menduduki tangga pertama peringkat kumpulan walaupun apa sahaja keputusan yang dicatat oleh PJ City dan UITM FC.
2. MASA YANG MENCUKUPI
Bersaing di kejohanan yang singkat ini memerlukan kepantasan maksima dalam memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan pemain ketika mengadaptasikan taktikal yang direncanakan oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan.
Dengan berbaki lebih kurang tujuh hari sahaja sebelum perlawanan seterusnya berlangsung, kem JDT perlu mencurahkan segala kudrat dan keringat serta bekerja keras untuk menggunakan waktu itu dengan sebaik-baiknya disamping mencari solusi dalam memantapkan lagi aksi dan prestasi.
3. FOKUS PADA PERLAWANAN SETERUSNYA
JDT akan memulakan pusingan kedua peringkat kumpulan B pada Jumaat, 23 Ogos 2019. Perlawanan menentang PKNP FC di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin akan menjadi satu-satunya perlawanan di halaman sendiri.
Harimau Selatan perlu melangsaikan tugas dengan mencatat kemenangan supaya mata maksimum di halaman sendiri dapat dicapai disamping memastikan penguasaan kukuh untuk melangkah penuh keyakinan ke peringkat seterusnya.
4. SOKONGAN DARI PENYOKONG
Setiap pasukan yang bersaing dalam kejohanan singkat ini adalah tidak sama dengan status mereka dalam kejohanan musim panjang. Kelebihan hanya tercatat diatas kertas namun tidak pada realiti. Kesemua pasukan mempunyai peluang yang sama.
Maka setiap mata yang dikutip adalah amat berharga. Dengan segala keputusan yang dicatat, JDT dilihat masih dilandasan terbaik dalam meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Dengan itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja serta keseluruhan barisan jurulatih Harimau Selatan memerlukan sokongan padu dari penyokong Merah Biru supaya dapat diolah menjadi formula ampuh dalam memacu mempertingkatkan semangat dan moral pemain untuk terus beraksi dengan lebih baik.
Penyokong juga diharapkan sentiasa setia menyokong dan sering berada di belakang pasukan dalam mengimplementasikan misi merampas kejuaraan.
Rasionalnya, dengan segala yang ditunjukkan oleh keseluruhan barisan kejurulatihan, pemain serta dikuatkan lagi dengan kata-kata motivasi oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, ia membuktikan JDT berkemahuan tinggi dalam persaingan Piala Malaysia pada musim ini dan sedaya upaya berusaha menamatkan aksi dengan keputusan yang terbaik.
Jangan pernah berhenti menyokong.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan