Harimau Selatan baham PJ City FC


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) memadam impian menggunung Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dengan kemenangan 4-2 dalam aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Tuan rumah tidak menunggu lama merungkai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Safawi Rasid.
Mauricio Santos hampir mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-15 selepas menerima umpanan daripada Safawi namun bola rembatan pertahanan JDT itu sempat ditampan penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz.


Sebaik babak kedua bermula, JDT menambah derita PJ City FC apabila sepakan lintang Afiq Fazail yang bergerak di posisi sayap kanan pada minit ke-47 gagal dikeluarkan pertahanan pelawat dan turut menyaksikan Kalamullah juga gagal menangkap bola dan kesempatan itu diambil Santo yang sekadar menolak mudah ke gawang terbuka luas.
Pelawat bangkit merapatkan jurang gol berpunca kesilapan Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-59 yang gagal menanduk ke belakang menyaksikan Washington Brandao bingkas merampas bola dan merembat leret menewaskan Farizal Marlias.
Pelawat menyentap keghairahan tuan rumah apabila mencipta gol penyamaan pada minit ke-69 selepas kesilapan kapten Hariss Harun dimanfaatkan R Barathkumar.
Namun kegembiraan pelawat tidak bertahan lama apabila tuan rumah kembali mendahului 3-2 selepas gerakan dimulakan Safawi pada minit ke-71 membuka ruang buat Santo mencetak gol kedua peribadi.
Ketika aksi berbaki sembilan minit Cabrera melengkapkan malam gemilang JDT apabila mudah menyudahkan bola umpanan Velazquez untuk memastikan juara Liga Super enam musim berturut-turut menang dengan jaringan 4-2.

Ulasan