'Harap pengadil contohi ketenangan Okabe'





PENGENDALI UiTM FC, Ismail Zakaria menuntut pengadil yang bakal mengadili pertemuan pasukannya dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok tidak mencetus sebarang insiden 'panas'.
Selain itu Ismail turut mengharapkan pengadil diamanahkan nanti mampu mengawal permainan dengan bijak dan konsisten bermula wisel pertama ditiupkan dan bukannya mengikut emosi.
Beliau juga menuntut mereka mencontohi ketenangan dan kewibawaan trio pengadil dari Jepun diketuai Takuto Okabe, Akane Yagi dan Osamu Nomura yang berjaya mengadili aksi final Piala FA pertemuan Kedah dengan Perak, minggu lalu dengan baik.


"Kami sesekali tidak memperkecilkan kemampuan pengadil tempatan malah ada dalam kalangan mereka berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan dalam sesuatu perlawanan, ini kami puji demi keadilan.
"Tapi biarlah semua pengadil, bukan hanya individu tertentu saja, kami tidak rela lagi menjadi 'mangsa' pengadil yang gagal melaksanakan tugas dengan baik kerana impaknya menyebabkan pemain mudah tertekan dan emosi.
"Selain itu, jika pengadil tidak mampu mengawal permainan dengan baik, sudah tentu perlawanan menjadi tegang dan panas, seterusnya boleh merosakkan corak permainan kedua-dua pasukan.
"Justeru saya harapkan pengadil yang dilantik perlu membuat keputusan yang bijak dalam sesuatu situasi, pada saya mereka boleh mencontohi Okabe yang bukan saja mampu mengendalikan permainan sejak awal lagi.
"Malah pengadil itu juga tegas dan bijak membuat keputusan selain tidak emosi biarpun ada kalanya mendapat tekanan daripada pemain," ujar Ismail.
Mengulas mengenai tujuh peraturan baru yang diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan digunakan pada saingan Piala Malaysia musim ini, Ismail berpendapat peraturan itu tidak mengganggu pemain.
"Pada saya peraturan itu adalah penambahbaikan, oleh itu ia tidak ganggu rentak permainan, lagipun peraturan itu adalah untuk melancarkan lagi perlawanan," jelas Ismail.

Ulasan