TMJ mahu Stadium Sultan Ibrahim jadi no.1 di Asia Tenggara
Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhasrat mahu melihat Stadium Sultan Ibrahim di Larkin yang sedang dalam pembinaan bukan sahaja menjadi kebanggaan penyokong bolasepak tempatan, tetapi turut diangkat menjadi stadium nombor satu di Asia Tenggara.
“Yang pertama, saya nak stadium ini menjadi stadium paling terbaik di Asia Tenggara. Itulah harapan saya selain stadium ini mendapat pengiktirafan daripada organisasi bola sepak lain atau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan menentang pengamal media di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin, pada Selasa.
Di sebalik keghairahan menyaksikan pembukaan Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri, Tunku Ismail menegaskan baginda tidak akan sesekali lupa elemen penting lain terutama kualiti permukaan padang bola sepak dan pusat latihan lebih lengkap.
Tanpa berselindung, Tunku Ismail berharap lebih banyak pasukan-pasukan Liga Malaysia mengambil inisiatif untuk menambah baik kualiti padang di mana ia memberikan manfaat besar kepada pasukan tempatan mahupun kebangsaan.
“Ini kerana saya tengok negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand telah menggunakan rumput berkualiti tinggi supaya pemain mereka boleh lebih mendapatkan lebih berkualiti daripada sudut permainan mereka.
“Saya fikir setiap kelab ada perancangan masing-masing dalam segi mendapatkan hasil dan cara bertahan. JDT dengan cara JDT tersendiri dan saya yakin setiap kelab ada insiatif masing-masing di mana saya berharap kita semua memajukan bola sepak Malaysia seperti yang dilakukan oleh Selangor dan Terengganu.
“Syabas kepada mereka dan saya berharap lebih ramai pasukan-pasukan akan ikut benda yang sama menggunakan bajet sebanyak RM1 atau RM2 juta, tidak perlu mahal tetapi boleh buat kualiti padang yang bagus dan mungkin juga pusat latihan yang lengkap,” titah baginda.
Foto : MFL
Ulasan
Catat Ulasan