KUALA LUMPUR - Pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC mengintai peluang untuk sekali lagi menjinakkan juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Rabu ini.
Sebelum ini, skuad bimbingan ketua jurulatih K. Devan itu telah dua kali berjaya menundukkan skuad Harimau Selatan di laman mereka sendiri dalam aksi Liga Super.
Devan berkata pasukannya akan mengatur strategi mengikut kekuatan pasukan JDT apabila dua pasukan itu bertembung dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia 2019 di stadium keramat itu.
“Dari segi corak permainan kita masih akan sama, tetapi dalam bola sepak setiap perlawanan itu berbeza. Sebab kita dah buat dua kejutan (mengalahkan JDT), tetapi kali ketiga saya rasa bukan mudah untuk mengatasi pasukan itu.
“Dari segi formasi sama, tetapi mungkin kita perlu atur strategi mengikut kekuatan JDT. Jadi, mungkin dari segi idea utama tidak banyak berubah, kita ada strategi-strategi tertentu dalam kawasan padang dan juga mengikut pemain yang mereka miliki di bahagian kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan anak buahnya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Untuk rekod, PJ City FC berjaya meleburkan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan Liga Super musim ini, selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas juara Liga Super 2019 itu di Larkin, pada 16 Julai lalu.
Tahun lepas, ketika dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), sebelum dijenamakan sebagai PJ City FC, pasukan tersebut telah menewaskan JDT 1-2 juga di Larkin dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Devan menjangkakan pasukannya harus bersedia dalam segala aspek bagi memberi tentangan kepada JDT dalam perlawanan mereka selepas ini.
“Mereka (JDT) akan bersiap sedia dalam segala aspek untuk bertemu dengan kita, dan mereka juga tidak mahu kalah kali ketiga di tempat sendiri. Saya rasa itu perlawanan yang mungkin kita kena main bermati-matian di sana sekiranya kita nak bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
“Bagaimanapun, kita akan terus bermain sebagaimana kita bermain dengan JDT, dan saya minta pasukan PJ City FC supaya tidak gementar bertemu dengan JDT serta kita cuba bermain dengan corak permainan saya. Itu sahaja permintaan dan ingatan kepada pemain PJ City FC,” katanya. - BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan