Devan mahu 'conteng arang' ketiga di Larkin


K Devan
KUALA LUMPUR: Pasukan PJ City FC mengintai peluang untuk sekali lagi menjinakkan juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, Rabu ini.
Sebelum ini, skuad bimbingan K Devan itu dua kali berjaya menundukkan skuad Harimau Selatan di laman mereka dalam aksi Liga Super.
Devan berkata, pasukannya akan mengatur strategi mengikut kekuatan JDT apabila mereka bertembung dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia 2019 di venue keramat itu.
“Dari segi corak permainan kita masih akan sama, tetapi dalam bola sepak setiap perlawanan itu berbeza.
“Sebab kita dah buat dua kejutan (mengalahkan JDT), tetapi kali ketiga saya rasa bukan mudah untuk mengatasi pasukan itu.
“Dari segi formasi sama, tetapi mungkin kita perlu atur strategi mengikut kekuatan JDT.
“Jadi, mungkin dari segi idea utama tidak banyak berubah, kita ada strategi tertentu dalam kawasan padang,” katanya selepas menyaksikan anak buahnya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, kelmarin.
Sebagai rekod, PJ City FC berjaya meleburkan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan Liga Super musim ini, selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas juara Liga Super 2019 itu di Larkin, pada 16 Julai lalu.
Tahun lalu, ketika dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), sebelum dijenamakan sebagai PJ City FC, pasukan itu menewaskan JDT 1-2 juga di Larkin dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.




Sementara itu, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim yang akur dengan kekalahan pasukannya kepada PJ City FC tetap berfikiran positif kerana mampu mendedahkan pemain-pemain pelapisnya dalam saingan Piala Malaysia.

Ulasan