SLOGAN ‘This is Larkin’ dan ‘Luaskan Kuasamu’ tidak lagi menjadi kata-kata keramat buat penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila jumlah kehadiran penyokong terus mencatatkan kemerosotan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.
Terbaru, aksi Piala Malaysia antara JDT dan UiTM FC di Larkin malam tadi cukup mengejutkan apabila hanya mencatat 5,860 penyokong seolah-olah menyamai rekod kelab kecil seperti PKNS FC, PDRM atau PKNP FC.
Situasi itu jelas tidak selari dengan status skuad Harimau Selatan yang menjuarai Liga Super enam kali berturut-turut selain satu-satunya pasukan dari negara ini yang bertanding pada saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini.
Apakah sebenarnya yang berlaku terhadap penyokong JDT?
Adakah mereka sudah bosan atau sudah menjangkakan lebih awal kemenangan yang boleh diraih oleh anak buah Benjamin Mora.
Masalah itu turut dipersoalkan ketua pasukan JDT, Hariss Harun yang mengakui kecewa dengan jumlah kehadiran penyokong biarpun pelbagai kejuaraan dan sejarah dilakar oleh skuad itu.
“Saya berada di sini sejak 2014 dan kami sudah memenangi banyak trofi. Saya melihat ramai orang bercakap mengenai atmosfera JDT di Larkin.
“Walau di mana saya pergi orang bertanya kepada saya dan bercakap mengenainya, namun sedih untuk mengatakan saya dan pemain lain tidak berasakan atmosfera itu malam tadi.
“Kami tidak percaya ia terjadi kerana kami fikir selepas menjadi juara liga enam kali dan mencipta sejarah, kami akan mendapat lebih banyak sokongan.
“Malangnya, itu tidak berlaku dan jika saya perlu berkongsi dengan anda sama ada ia memberi kesan kepada prestasi kami, tentu saja ia memberi kesan, kerana tanpa penyokong di belakang kami menjadikannya lebih sukar bagi kami sebagai satu kelab,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan