PEMIKIRAN negatif dengan menganggap Johor Darul Ta’zim (JDT) sukar ditundukkan menyebabkan pasukan dari selatan tanah air itu kemungkinan akan memegang takhta Liga Super untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Bekas pemain negara, Khalid Ali berkata, mentaliti sesetengah pasukan yang lebih rela berada di tangga kedua liga daripada mencabar kejuaraan turut menyumbang kepada faktor kejuaraan JDT sukar digugat.
Beliau berkata, kemudahan membabitkan infrastruktur serta pusat rawatan serta pemulihan yang dimiliki Harimau Selatan itu juga memainkan peranan pasukan itu untuk mengekalkan kejuaraan liga untuk tempoh enam kali berturut-turut.
“Faktor utama JDT terus memegang takhta liga adalah mentaliti pasukan lain yang mudah akur tewas atau berada di belakang skuad Harimau Selatan itu daripada memberikan cabaran sengit.
“Jika situasi itu terus berlaku, saya boleh lihat mungkin untuk tempoh lima hingga 10 tahun lagi, JDT akan terus mengekalkan kejuaraan liga.
“Kemudahan yang dimiliki mereka juga canggih dan lengkap, sekali gus mampu mengekalkan momentum pemain untuk memperagakan aksi memuaskan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Di Johor Bahru, kira-kira 5,000 rakyat Johor khususnya penyokong setia JDT berkumpul di Dataran Bandaraya Johor Bahru malam kelmarin, bagi sama-sama meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu menjulang trofi Liga Super buat kali keenam berturut-turut.
Kejayaan hatrik berganda itu turut dikongsi semua pemain JDT bersama penyokong dengan membawa trofi Liga Super itu berarak di sekitar bandar raya ini seperti tahun sebelumnya.
Selepas selesai perlawanan terakhir liga yang menyaksikan JDT seri 3-3 berdepan Terengganu FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin di sini, trofi yang dijulang di stadium itu kemudian dibawa bersama pemain, pegawai serta barisan kejurulatihan JDT dengan bas khas menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab JDT.
JDT sudah pun mengesahkan diri sebagai juara Liga Super Malaysia 2019 lebih awal ketika berbaki empat lagi perlawanan selepas menundukkan Melaka United pada 27 Jun lalu. JDT turut mencatatkan rekod Liga Super tanpa kalah paling lama iaitu sebanyak 75 perlawanan dan kemenangan berterusan paling banyak iaitu 28 perlawanan di Stadium Larkin.
Terdahulu, di sebelah petang, JDT diwakili Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong.
Pengiktirafan itu sekali gus memecah rekodnya sendiri tahun lalu yang turut dicatat dalam MBOR selepas muncul juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut.
Ulasan
Catat Ulasan