KUALA TERENGGANU: Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memberi peringatan kepada pemainnya supaya jangan memandang rendah kemampuan PKNS FC menjelang aksi pembukaan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.
Malah, bekas penyerang Terengganu itu mahu anak buahnya tidak terlalu memikirkan rekod perlawanan pada aksi Liga Super menentang pasukan sama sebagai alasan untuk mengambil mudah pertemuan berkenaan.
Justeru, jurulatih yang pernah membimbing skuad Piala Presiden Terengganu itu menggesa skuad kendaliannya memperagakan aksi sebenar selain membuktikan mereka mampu menyaingi skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu.
"Walaupun TFC berjaya mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri dan menang 2-1 menundukkan PKNS di Stadium Shah Alam pada aksi Liga Super, ia bukan jaminan buat pasukan untuk menewaskan skuad itu kerana pentas Piala Malaysia adalah gelanggang yang berbeza.
"Oleh sebab itu saya mengingatkan pemain usah berasa selesa dan mengambil mudah biarpun beraksi di laman sendiri kerana sudah pasti lawan juga mahukan kemenangan.
"Selain itu pasukan juga tidak boleh membazirkan mata jika berhasrat untuk mara ke peringkat suku akhir apatah lagi beraksi di laman sendiri pada aksi pertama peringkat kumpulan itu biarpun sedar bakal diberi tentangan sengit pihak lawan," katanya.
Nafuzi yang mengambil alih tugas daripada Irfan Bakti Abu Salim pada 16 Mei lalu selepas jurulatih itu meletak jawatan secara mengejut menyatakan perancangan pasukannya berjalan lancar biarpun mungkin ada sedikit tekanan untuk melangkah lebih jauh sebagaimana muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.
Pada final musim lalu ketika bawah kendalian Irfan, skuad Penyu itu tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan hingga tambahan masa terikat 3-3 dalam aksi yang 'panas' dan penuh dramatik itu dengan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain.
Ulasan
Catat Ulasan