UiTM FC sedia aibkan JDT


Ketua jurulatih UiTM, Ismail Zakaria. - NSTP/Ramdzan Masiam


KUALA TERENGGANU: Pertemuan menentang juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak menggentarkan UiTM FC pada aksi pertama saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat ini.
Justeru, sekali pun dilabel bukan pilihan, pasukan yang diberi julukan The Lion Troops itu sudah bersedia untuk memberi 'kuliah' kepada JDT biarpun sedar skuad itu terdiri daripada penuntut universiti dan mentah daripada segi pengalaman.
Ketua jurulatih UiTM, Ismail Zakaria awal-awal lagi menyatakan anak buahnya tidak akan memberi laluan mudah kepada skuad Harimau Selatan itu walaupun sudah pasti kelebihan memihak kepada lawan.
"Kami tetap hormati juara Liga Super itu yang juga pasukan terkuat Liga Malaysia,  tapi kami bertandang ke Larkin untuk aksi pertama mempunyai misinya yang tersendiri.
"Kami sedar atas kertas sudah pasti kelebihan memihak kepada skuad JDT, tapi pemain kami sudah bersedia untuk melakar kejutan ke atas skuad Harimau Selatan itu.
"Untuk catat kemenangan pasti tugas sukar buat pemain kami, tapi jika anak buah kami berjaya mencuri satu mata di Larkin ia sudah memadai dan ia satu kejutan kerana pemain begitu teruja bertemu dengan skuad itu lebih-lebih lagi beraksi di stadium mereka," kata Ismail.
Selain JDT yang diletak sebagai pasukan pilihan menjuarai kumpulan, dua lagi pasukan iaitu Petaling Jaya City FC dan PKNP FC turut berpeluang melangkah ke suku akhir saingan piala berprestij itu.

Ulasan