TRANSFORMASI DALAM GERAK LANGKAH KEJAYAAN HARIMAU SELATAN
Keunggulan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam mendominasi kancah bola sepak tanah air serta kejayaan mengekalkan kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali keenam berturut-turut adalah kerana wujudnya signifikasi falsafah transformasi.
Imbas kembali, sejak bermula era awal kewujudan Harimau Selatan, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menjadikan transformasi sebagai proposisi terbaik dalam gerak langkah pascakebangkitan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
1. TRANSFORMASI MENJANA KEJAYAAN
Transformasi merupakan komponen paling penting apabila ingin mencapai sesuatu kemajuan. Transformasi atau perubahan juga merupakan satu faktor dan titik tolak dalam bangkitnya Harimau Selatan dari lena yang panjang. DYAM Tunku Mahkota Johor berorientasi menjadikan transformasi bola sepak Johor sebagai satu impian yang tiada berpenghujung.
JDT tetap terus mengalami transformasi dari tahun ke tahun walaupun berbagai-bagai kejayaan berjaya dikecapi. Dengan adanya momentum dalam transformasi, DYAM Tunku Mahkota Johor dilihat sentiasa ingin terus memajukan JDT dan tidak akan membiarkan kelab ini terlalu selesa dibuai kejayaan.
Ini kerana signifikasi falsafah transformasi adalah terus melakukan perubahan daripada satu keadaan baik kepada satu keadaan yang lebih baik.
2. TRANSFORMASI PENGURUSAN SUPAYA LEBIH EFISIEN
Transformasi struktur dan cara pengurusan dalam menguruskan organisasi bola sepak Johor juga telah dibuat dan ditambahbaik sekerap yang mungkin supaya organisasi yang mengendalikan kelab kebanggaan Bangsa Johor ini sentiasa sempurna dan tiada cacat cela. DYAM Tunku Mahkota Johor amat tegas menitikberatkan kesempurnaan dalam pengurusan malah sentiasa memegang prinsip “make or become better by removing or putting right what is bad or wrong”.
Semua sedar bagaimana keadaan awal organisasi ini semasa DYAM Tunku Mahkota Johor mengambil alih. Proses transformasi dalam organisasi JDT dahulu adalah proses transformasi yang radikal dan total malah berlangsung dalam jangka waktu yang singkat.
Setelah itu, saban tahun perubahan dalam organisasi JDT telah melalui proses pembaharuan yang terencana dan sangat teliti. Atas kesedaran tersebut, DYAM Tunku Mahkota Johor sendiri telah turun padang memantau aliran kerja dalam organisasi. Segala perkara negatif dan unsur-unsur yang mencurigakan di dalam organisasi akan segera dinyahaktif.
“Tidak ada individu yang lebih besar daripada kelab” adalah salah satu indikator dalam menjadikan organisasi yang dibina ini mantap dan kukuh. Dengan adanya penambahbaikan dalam kendalian pengurusan ini, sistem sosial organisasi sentiasa di dalam radius yang positif dan terkawal.
3. TRANSFORMASI FASILITI DAN INFRASTRUKTUR
Anjakan paradigma bola sepak Johor dapat disaksikan oleh semua penyokong Harimau Selatan. Kita dapat melihat bagaimana transformasi yang diilhamkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor berjaya mengubah status Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, menjadi stadium yang paling sempurna di Malaysia.
Kita juga berpeluang melihat bagaimana perubahan padang latihan biasa yang terdapat di Padang Seri Gelam. Kini bukan sahaja memiliki padang latihan yang terbaik tetapi juga terdapat di dalamnya pusat latihan tertutup yang dinamakan Pusat Latihan Tertutup Dato' Suleiman Mohd Noor.
Padang latihan tertutup tersebut diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana mengikut spesifikasi dari segi saiz, pencahayaan dan kualiti rumput sintetik yang terbaik.
Dengan kemudahan infrastruktur dan fasiliti termasuk bakal memiliki stadium bolasepak baharu berteknologi tinggi serta yang terbaik di Asia, JDT akan terus menjadi sebuah kelab yang diimpikan oleh setiap pemain dan menjadi tarikan jurulatih luar dan dalam negara mencuba nasib disini.
4. TRANSFORMASI MINDA DAN CARA PEMIKIRAN KELUARGA JDT
Transformasi bukan sahaja berkaitan dengan infrastruktur, fasiliti atau teknologi tetapi juga berkaitan dengan perubahan minda dan cara berfikir. Transformasi ini akan membuatkan barisan jurulatih dan pemain sentiasa peka dalam mengejar tanda aras yang telah ditetapkan malah menghargai serta bangga dengan peluang menyarung jersi merah biru.
Transformasi ini juga mempengaruhi penyokong supaya matang dalam memberi sokongan dan bersatu dibelakang pasukan. Akhirnya, transformasi minda dan cara berfikir juga telah mendidik serta memberi motivasi kepada semua barisan jurulatih, pemain dan penyokong supaya berada dalam radius kitaran berfikiran positif, yakin dan percaya kepada pasukan dalam apa sahaja situasi serta berkemahuan tinggi tanpa terlalu puas dengan pencapaian.
Akhir kata, jika dilihat dari sudut perspektif nilai positif, proses transformasi tanpa henti JDT sebenarnya turut memberi impak kepada landskap bola sepak tanah air apabila kebanyakan pengurusan pasukan liga domestik telah banyak diberi kesedaran tentang betapa pentingnya elemen transformasi.
Perlaksanaan gerak kerja ini juga terbukti dikagumi apabila JDT telah menjadi pencetus, ikon, ‘blueprint’ serta ikutan badan-badan bola sepak di Malaysia.
DYAM Tunku Mahkota Johor pula dilihat sebagai pencetus kesedaran dan pemecah pemikiran konvensional tentang betapa pentingnya anjakan paradigma. Sesungguhnya memang benar, DYAM Tunku Mahkota Johor dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah ‘PIONEER’ (peneraju) dalam kemodenan bola sepak tanah air!
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan