PEMAIN Terengganu , Syamim Yahya cuba melepasi pertahanan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.- FACEBOOKPAHANG FA
KUALA LUMPUR - Terengganu berkongsi satu mata dengan Pahang selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Pertarungan ‘derby’ Pantai Timur berlangsung sengit namun penyokong kedua-dua pasukan terpaksa menunggu sehingga minit ke-42 untuk melihat jaringan gol.
Rembatan Syamim Yahya dari luar kotak penalti meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 pada babak pertama.
Bagaimanapun, enam minit selepas bermula babak kedua, pemain sayap kanan Pahang, Mohamadou Sumareh berjaya menyamakan kedudukan selepas melakukan rembatan deras selepas menerima umpanan cantik Wan Zaharulnizam dalam kotak penalti.
Perlawanan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada gol dapat dihasilkan sehingga tiupan wisel penamat.
Sementara itu, dalam aksi Liga Perdana, UKM FC berjaya melakar kemenangan 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan