Langkau ke kandungan utama

Tambadau bersemangat harungi Liga Super

PEMAIN JDT II (tengah) bersaing dengan pemain Sabah dalam aksi
PEMAIN JDT II (tengah) bersaing dengan pemain Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium MP Pasir Gudang, semalam. - Gambar JOHOR SOUTHERN TIGERS
KOTA KINABALU - Kejayaan mengotakan sasaran utama layak ke Liga Super musim depan telah menyemarakkan semangat Tambadau untuk terus memberikan aksi cemerlang dalam memburu gelaran juara Liga Perdana musim ini.
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berkata, ia juga bukan mustahil untuk dicapai jika pasukan dapat mengekalkan prestasi baiknya dalam baki tiga perlawanan.
“Beban tekanan mengeluarkan Sabah dari kepompong Liga Premier selama tujuh tahun telah kita lenyapkan dengan kejayaan layak ke Liga Super musim depan iaitu sasaran utama kita musim ini.
“Kejayaan ini adalah pembakar semangat dan tonik yang kita perlukan untuk memburu gelaran juara Liga Premier pula. Saya amat yakin ini juga bukan mustahil kerana kita hanya perlukan tambahan tiga mata untuk mendakapnya,” katanya di sini, hari ini.
Kemenangan 1-0 ke atas JDT II di Stadium Pasir Gudang, semalam mengukuhkan kedudukan Tambadau Sabah di tangga teratas dengan 37 mata, diikuti Johor DT II dengan 33 mata serta baki dua perlawanan.
Sabah hanya perlu mengutip tiga mata dalam baki tiga perlawanan untuk mengumpul 40 mata iaitu jumlah yang tidak mampu dicapai pasukan lain bagi menamatkan penantian 23 tahun untuk gelaran juara.
“Dengan prestasi pemain di tahap baik sekarang, saya yakin dan harap kita akan dinobatkan sebagai juara lebih awal,” kata Peter.
Sabah akan meneruskan cabaran menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam pada Selasa (9 Julai) sebelum kembali beraksi di gelanggang sendiri menentang Kelantan di Stadium Likas pada 13 dan menutup tirai liga musim ini menentang TFC II di tempat lawan pada 19, 20 atau 21 Julai. - BERNAMA

Ulasan