Langkau ke kandungan utama

Si kerdil tumbangkan Harimau

PENYERANG PJ City FC, Washington Brandao Dos Santos (kiri) meraikan
PENYERANG PJ City FC, Washington Brandao Dos Santos (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
KUALA LUMPUR - Menang atau kalah mungkin sudah tiada makna buat Johor Darul Ta’zim (JDT), namun kekalahan 0-1 kepada pasukan kerdil, Petaling Jaya (PJ) City sedikit sebanyak pasti ‘menyakitkan hati’ Harimau Selatan yang memburu rekod bersih dalam Liga Super musim ini.
Jaringan penyerang Brazil, Washington Brandao Dos Santos pada minit ke-64 memberi kemenangan sensasi buat anak-anak buah K. Devan, sekali gus merosakkan kegembiraan JDT yang diraikan sebagai juara Liga Super 2019 buat kali pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Biarpun kalah mengejut di tangan PJ City, namun itu tidak menjejaskan semangat ribuan penyokong yang memenuhi stadium untuk menyaksikan pasukan mereka menjulang trofi selepas dinobat sebagai juara enam musim berturut-turut pada 27 Jun lalu.
Kesungguhan JDT untuk mengulangi pencapaian 2016 iaitu tidak tumbang dalam sebarang perlawanan terserlah sejak awal apabila beraksi agresif sebaik sahaja wisel permainan bermula.
Begitupun, ketenangan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan pertahanan PJ City menggagalkan setiap percubaan tuan rumah, sebaliknya pasukan pelawat menghukum gawang JDT di kesempatan terbaik yang hadir.
Harimau Selatan yang mengungguli Liga Super dengan 52 mata, 15 mata mengatasi Pahang akan menentang Terengganu dalam perlawanan terakhir pada 19 Julai ini.
PJ City pula akan bertemu PKNP FC pada 21 Julai. - UTUSAN ONLINE

Ulasan