JOHOR BAHRU: Julung kali menjejakkan kaki ke Johor, apatah melihat sendiri pembangunan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pengalaman baharu buat beberapa pemain legenda dunia.
Bekas bintang Perancis, Louis Saha nyata teruja dan menyifatkan peluang diberi untuk bermain di Johor sebagai satu pengalaman berharga.
Katanya, meskipun beliau tidak mengikuti rapat perkembangan bola sepak Malaysia termasuk JDT, keputusannya bersetuju menjayakan perlawanan amal 'JDT All Stars' adalah tidak sia-sia.
"Semalam saya bermain di Stadium Larkin, hari ini bertemu peminat dan menjayakan Klinik Kejurulatihan bersama Akademi JDT, memang sangat mengujakan.
"Kemudahan dan aset yang ada memang terbaik dan ada kelas tersendiri, sememangnya mampu menarik ramai pemain luar tertarik berhijrah ke sini," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Bagi bekas pemain Perancis dan Arsenal, Robert Pires, pembangunan pasukan JDT boleh dilihat sebagai model boleh digunakan kelab bola sepak lain di rantau ini.
"Saya teruja melihat pembangunan bola sepak di Johor dan ternyata ia semestinya daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Tunku Mahkota Johor) yang mempunyai minat mendalam dalam sukan ini.
"Ini adalah satu pengalaman berharga (bermain di Johor) dan saya harap peminat yang hadir semalam berpuas hati dengan aksi dipamerkan," katanya.
Terdahulu, pemain legenda dan bekas bintang dunia yang menyertai perlawanan amal JDT All Stars hadir ke Pusat Latihan Padang Seri Gelam, di sini, bagi menjayakan Klinik Kejurulatihan bersama Akademi JDT selain beramah mesra bersama lebih 200 peminat yang hadir.
Turut berangkat, Tunku Ismail dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam.
Ulasan
Catat Ulasan