Sabah hampiri Liga Super

Pemain JDT II, Muhd Ramadhan Saufullah Usman (kiri) berebut bola dengan pemain Sabah, Jenius Karib ketika perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium MPPG, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
PASIR GUDANG: Penantian Sabah untuk kembali ke saingan Liga Super selepas 14 tahun semakin menjadi kenyataan susulan kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.
Sabah mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga selepas dengan 37 mata ketika saingan berbaki tiga perlawanan manakala pencabar terdekat JDT II yang kekal pada 33 mata hanya berbaki dua perlawanan.
Pertembungan dua pasukan di kelompok teratas liga menyaksikan tuan rumah lebih awal mengundang cemas pada minit keenam selepas bola umpanan Nicolas Fernandez menemui Rozaimi Abd Rahman yang hampir mencipta jaringan namun rembatan leretnya sekadar terkena tiang gol.
Pemain JDT II, Che Rashid Che Halim (kiri) berebut bola dengan pemain Sabah, Evan Wensley ketika perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium MPPG, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
Skuad Tambadau juga memiliki peluang pada minit ke-20 selepas bola tolakan Rodoljub Paunovic membuka ruang buat Aguinaldo Mendes Veiga melepasi Bruno Soares dan turut memperdaya penjaga gol, Haziq Nadzli, namun gagal melakukan penyudah tepat ketika gawang gol terbuka luas.
Selang dua minit, Paunovic terlepas peluang mencetak nama selaku penjaring apabila bertindak menyepak bola lambung dari jarak 40 meter selepas melihat Haziq sudah tidak berada di gawang gol tetapi bola lambungan itu hanya melewati palang gol.
Pelawat terpaksa menanti sehingga minit ke-59 untuk memecah kebuntuan selepas bola sepakan deras Paunovic dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Haziq untuk memberikan kemenangan berharga buat skuad kendalian Jelius Ating.

Ulasan