PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) Luciano Figueroa jelas kecewa apabila rekod kebal 75 perlawanan tanpa kalah skuad Harimau Selatan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada saingan Liga Super sejak tahun 2013 akhirnya lebur selepas tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City (PJ City FC) kelmarin.
Figueroa memberitahu, beliau bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan itu dan mengakui persembahan anak-anak buahnya malam kelmarin merupakan antara yang kurang memberangsangkan pada musim ini.
“Perasaan sedih itu memang ada, apa pun yang lebih penting ialah kita (pemain) perlu melihat ke depan dan cuba membaiki kekurangan dari segi corak permainan.
“Selepas ini, perlawanan menentang Terengganu. Saya harap kita dapat pamer aksi yang lebih baik berbanding malam ini,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.
Mengulas mengenai perlawanan, Figueroa memberitahu, beliau memuji cara permainan PJ City FC yang dilihat berjaya menterjemahkan corak aksi yang menarik.
“Mereka (PJ City FC) bermain dengan baik pada malam ini apabila dilihat mengukuhkan bahagian pertahanan dan tengah selain membuat serangan balas pantas.
“Saya akui JDT sedikit bergelut dengan cara permainan mereka. Pertahanan mereka yang kukuh menyebabkan kita sukar untuk menembusi serta mencari peluang gol,” katanya.
Beliau menambah, ketiadaan pemain tonggak kelahiran Brazil, Mauricio Dos Santos pada aksi kelmarin juga sedikit mencacatkan keseluruhan perlawanan khususnya benteng pertahanan JDT.
“Kita merasai ketiadaan Mauricio di atas padang. Sama juga dengan prestasi Safawi Rasid yang kurang memberangsangkan dipercayai akibat keletihan.
“Apa pun saya harap kita perbaiki untuk perlawanan akan datang menentang Terengganu kerana kita akan menjulang piala Liga Super selepas perlawanan itu.” kata Figueroa.
Ulasan
Catat Ulasan