Piala Cabaran medan tebus kecewa



LALUAN mudah buat naib juara Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II untuk ke final Piala Cabaran 2019 apabila diundi dalam Kumpulan A bersama dua pasukan terbawah liga, iaitu Kelantan dan Sarawak.
Namun, nasib berbeza bagi juara bertahan, Terengganu FC II apabila sekali lagi diundi menentang finalis tahun lalu, UKM FC dalam Kumpulan B selain dua pasukan yang pertama kali beraksi di pentas Piala Cabaran iaitu Selangor United dan Kuala Lumpur.
Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban ketika ditanya mengenai undian itu tetap realistik terhadap saingan pasukan lain meskipun menyasarkan final.


"Falsafah kami menghormati setiap pasukan dalam Liga Malaysia. Sarawak dan Kelantan adalah pasukan yang baik.
"Musim ini baik bagi pasukan kami dan saya berharap untuk mencapai lebih baik. Saya berharap kami dapat kekal bersaing dan akan menumpukan perlawanan demi perlawanan.
"Sebagai jurulatih saya percaya kepada konsistensi dan berharap untuk mewakili negeri hingga ke final," katanya ditemui pada Majlis Undian Piala Cabaran 2019 di sini, hari ini.
Piala Cabaran diperkenalkan pertama kali musim lalu bertujuan menyediakan platform pertandingan kompetitif untuk pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia.
Sementara itu, Ketua Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin berkata, pihaknya memang berharap diundi bersama Terengganu FC II seterusnya bertemu di final sekali lagi.
"Jika dalam satu kumpulan peluang untuk bertemu di final memang ada. Kami juga menetapkan tanda aras maksimum iaitu ke final sekali lagi jika boleh dan lebih manis jadi juara sebab tahun lalu sudah hampir.
"Menamatkan saingan di tempat kelapan, prestasi kami tidak jauh beza musim lalu dan paling utama kekal di Liga Perdana.
"Rezeki itu Allah dah susun baik-baik, mungkin tahun depan medan terbaik untuk ke Piala Malaysia. Itu impian kami," katanya.
Bagi ketua jurulatih Kuala Lumpur, Roslee Md Derus aksi Piala Cabaran perlu dimanfaatkan bagi menebus kekecewaan gagal kekal di Liga Super 2020.
"Ini penyertaan pertama dan mencabar bagi pasukan saya. Berdasarkan prestasi kami di Liga Super, mungkin berpeluang jadi juara tapi saingan pasukan Liga Perdana tidak kurang hebatnya.
"Jadi kepada pemain, walaupun dianggap 'piala kedua', ini peluang untuk tebus kekecewaan gagal ke Liga Super," katanya.
*KUMPULAN A* - Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Kelantan, Sarawak
*KUMPULAN B* -Terengganu FC II (TFC II), UKM FC, Selangor United, Kuala Lumpur

Ulasan