Persahabatan amal 'All-Stars JDT' kutip lebih RM600,000


PERLAWANAN amal JDT TMJ menentang JDT Rest Of The World (All-Stars JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi, berjaya mengutip dana berjumlah lebih RM600,000.
Kutipan diraih menerusi hasil penjualan tiket dengan jumlah kehadiran di stadium melebihi 17,000 penonton selain sumbangan penaja.
Semua kutipan dana perlawanan itu akan disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Women's Aid Organisation (WAO) dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).



Pemain JDT, Florent Malouda (tiga dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Larkin. FOTO NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat menonton aksi persahabatan amal berkenaan.
Perlawanan itu menyaksikan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) berpesta gol membenam pasukan JDT Rest of the World dengan jaringan 9-5.
Pasukan JDT TMJ diperkuatkan oleh tiga bekas bintang Perancis iaitu Robert Pires, Claude Makalele dan Florent Malouda.
Tunku Ismail turut beraksi di posisi tengah bergandingan Esteban Cambiasso, Marco Materazzi dan Gianluca Zambrotta.
Beberapa pemain JDT seperti penjaga gol, Farizal Marlias, La'Vere Corbin-Ong, Mauricio Nascimento, Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo dan Safawi Rasid berada dalam skuad JDT TMJ.
JDT Rest of the World dibarisi beberapa legenda bola sepak dunia antarannya Rivaldo, Claudio Caniggia, Edgar Davids dan Bebeto.
Penjaga gol kedua JDT, Izham Tarmizi beraksi selaku penjaga gol JDT Rest of the World bersama beberapa pemain Harimau Selatan lain seperti Syazwan Andik Ishak, S Kunanlan dan Aidil Zafuan Abd Radzak.

Ulasan