TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM (depan tiga dari kiri) yang juga pemain JDT TMJ meraikan kemenangan pasukannya dalam Perlawanan Amal JDT ALL STARS di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi. - BERNAMA
JOHOR BAHRU - Perlawanan ‘JDT All-Stars Friendly’ yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi berjaya mengumpul dana RM680,000 untuk disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang memerlukan.
Perlawanan amal yang menarik tumpuan ramai kerana disertai beberapa bekas pemain ternama dunia itu berkesudahan dengan pasukan JDT TMJ menewaskan JDT Rest of The World, 9-5.
Sejumlah RM600,000 daripada dana itu merupakan hasil jualan lebih 17,000 tiket manakala RM80,000 lagi adalah sumbangan dari pemain dan pihak pengurusan kelab Johor Darul Takzim.
Antara pertubuhan yang bakal menerima dana ialah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Selain mengumpul dana, perlawanan itu turut menyaksikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah.
Terdahulu, dalam perlawanan itu, tiga gol hatrik pasukan JDT TMJ disumbangkan oleh Florent Malouda pada minit keenam, ke-11 dan ke-66.
Enam lagi gol pula dijaringkan Robert Pires (pada minit ke-13 dan ke-44); Marco Materazzi (minit ketiga); Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (minit ke-23), David Trezeguet (minit ke-50) dan Diogo Santo (minit ke-89).
Untuk gol JDT Rest of The World, dua gol diledakkan Rivaldo pada minit ke-43 dan ke-46; dan masing-masing satu oleh Louis Saha (menerusi sepakan penalti pada minit ke-21); Edgar David (minit ke-58) dan Claudio Caniggia (minit ke-59).
Selain bintang gergasi, perlawanan juga memperlihatkan penyanyi rap tanah air Joe Flizzow beraksi untuk pasukan JDT Rest of The World. - BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan