KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic. NSTP/Abdullah Yusof
IPOH: Kunjungan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke Stadium Perak, Ipoh malam esok amat dinantikan tuan rumah yang tewas 1-0 pada perlawanan pembukaan musim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, Februari lalu.
Misi meleburkan rekod tanpa kalah JDT yang baru dinobatkan juara Liga Super musim ini juga dilihat tidak mustahil kerana Perak pernah menamatkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah JDT pada musim 2017/2018.
Berdasarkan prestasi semasa yang menyaksikan pasukan The Bos Gaurus (TBG) itu mengumpul sembilan mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super, Perak pastinya mahu Stadium Perak kembali mencatat sejarah meleburkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah JDT dalam liga musim ini.
Bagaimanapun pengendali Perak Mehmet Durakovic bersikap merendah diri dan menganggap pertembungan dengan Harimau Selatan itu sebagai saingan amat sengit untuk anak buahnya.
"Apa lagi yang boleh diperkatakan mengenai JDT, ia adalah pasukan terbaik di Malaysia, menang Liga Super enam musim berturut-turut, mempunyai ramai pemain tempatan dan import yang bagus, jurulatih yang bagus, kami harus menghormati mereka,” kata Durakovic.
"Kami akan cuba beri yang terbaik, Perak akan beraksi dengan permainan bola sepak yang baik, pemain akan beri komitmen 100 peratus untuk perlawanan malam esok, insya-Allah (kami boleh menang), tiada siapa yang tahu."
Durakovic bagaimanapun tidak pasti sama ada dapat menurunkan tiga tonggak utama yang disisihkan pada pertembungan kedua Piala FA menentang Pahang, baru-baru ini, yang menyaksikan pasukan pelawat dibedil 3-0 itu.
Katanya, dia perlu melihat prestasi semasa tiga pemain berkenaan – Ronaldo Henrique Silva, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan – sama ada mereka cukup cergas untuk mengharungi 90 minit perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan