JOHOR BAHRU: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) menamatkan saingan musim ini dengan mencatatkan keputusan 3-3 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam tadi.
Keputusan itu dilihat mencalar sedikit pesta keraian skuad Harimau Selatan yang sejurus selepas itu menerima trofi kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut.
Dengan keputusan seri itu, JDT berjaya mengumpulkan keseluruhan 53 mata daripada 22 aksi musim ini manakala skuad Penyu sebanyak 30 mata.
Dalam perlawanan malam tadi, TFC bermula cemerlang apabila mendahului tuan rumah pada minit ke-23 menerusi jaringan Sanjar Shaakhmedov. Namun kelebihan itu hanya mampu bertahan selama lapan minit, apabila umpanan kapten JDT, Hariss Harun berjaya disudahkan Leandro Sebastian Velazquez untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Empat minit selepas itu, Muhammad Safawi Rasid menyumbat gol kedua skuad Harimau Selatan sebelum Gonzalo Gabriel Cabrera Giordana menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-44.
TFC bagaimanapun tidak patah semangat dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-65 menerusi Serhii Andrieiev. Dan pelawat kemudian berjaya menyamakan kedudukan 3-3 ketika permainan memasuki minit ke-79 melalui jaringan Lee Andrew Tuck.
Keputusan kekal 3-3 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Ulasan
Catat Ulasan