Pahang mula panas 'enjin'



SKUAD Pahang memulakan aksi pemanas badan sebagai persediaan mengharungi Piala Malaysia dengan kemenangan 4-1 ke atas UiTM FC pada perlawanan persahabatan di Stadium UiTM, malam tadi.
Dua penyerang import, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi masing-masing menjaringkan satu gol dengan dua lagi menerusi pemain tengah, Nor Azam Azih dan Mohd Faisal Halim melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Dollah Salleh itu.
Mengulas kemenangan itu, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang gembira dengan komitmen semua pemainnya.


"Bertemu UiTM pada aksi persahabatan itu lebih kepada menguji pasukan, terutama dari segi mengekalkan rentak dan persefahaman pemain. Pada perlawanan itu juga jurulatih (Dollah Salleh) memberi peluang kepada barisan kedua Pahang mempamerkan prestasi masing-masing.
"Kemenangan ini diharap memberi motivasi dan semangat untuk menghadapi saingan lebih mencabar Piala Malaysia bermula Sabtu ini," katanya.
Mohammed Suffian turut mengesahkan Pahang akan melayan Terengganu FC (TFC) II di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh, malam esok.
Katanya, aksi persahabatan itu adalah pelengkap dua perlawanan skuad Tok Gajah bagi menilai prestasi keseluruhan pemain.
"Saya percaya dua aksi pemanas badan ini akan membantu meningkatkan kualiti pasukan," katanya.
Dalam saingan Piala Malaysia, Pahang diundi dalam Kumpulan C akan bertemu Perak yang juga juara bertahan, juara Liga Perdana, Sabah dan Pulau Pinang.

Ulasan