Mampukah PJ City cipta kejutan lagi?




Aksi pemain PJ City (jersi biru) ketika menentang Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ, baru-baru ini. - NSTP/Owee Ah Chun
KUALA LUMPUR: Adakah sejarah 5 Ogos tahun lalu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos bakal berulang malam ini?
Pada tarikh itu, kejutan besar berlaku di gelanggang keramat Johor Darul Ta'zim (JDT) itu apabila mereka tewas 1-2 kepada MIFA dalam Kumpulan C saingan Piala Malaysia.
MIFA yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC (PJ City) sekali lagi akan bertandang ke Larkin untuk aksi ke-21 Liga Super selepas perlawanan yang sepatutnya berlangsung Rabu lalu terpaksa ditunda ke malam ini susulan virus influenza.
Ketua jurulatih PJ City, K Devan sudah pasti mahukan kemenangan atau sekurang-kurangnya mencuri mata di Larkin terutama selepas mereka kecundang 0-3 kepada Selangor, Sabtu lalu.
Malah, jika berjaya mengulangi sejarah manis menundukkan JDT di Larkin, PJ City sekali lagi akan muncul pasukan yang meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam saingan liga musim ini.
Namun bukan mudah kerana berdasarkan persembahan dipamerkan anak buah Benjamin Mora ketika ini, mereka seakan harimau yang masih kelaparan walaupun sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super keenam berturut-turut lebih awal.
Buktinya, mereka mencatat kemenangan besar dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini dengan menundukkan Perak 3-0 dan Kuala Lumpur 4-0.
JDT pasti sudah belajar daripada sejarah pahit dikejutkan pasukan PJ City selain mereka juga tidak mahu rekod tanpa kalah dicalar pasukan berstatus kelab, apatah lagi beraksi digelanggang sendiri.
Namun, persoalan adakah PJ City mampu melakar kejuatan atau mereka akan menjadi satu lagi pasukan belasahan kepada JDT di penghujung saingan ini hanya akan terjawab selepas aksi 90 minit malam ini.

Ulasan