Langkau ke kandungan utama

Liga Super: TFC I mahu balas dendam terhadap Pahang

Pemain TFC I diraikan penaja, kopi Super Jantan sewaktu sesi latihan di Kuala Terengganu hari ini.

Pemain TFC I diraikan penaja, kopi Super Jantan sewaktu sesi latihan di Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) menanti kunjungan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada esok dengan misi untuk membalas dendam.
Ayam tambatan TFC I, Kipre Tchetche berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan mahu melangsaikan 'hutang lama' selepas dibelasah skuad Tok Gajah 0-4 pada aksi suku akhir kedua Piala FA yang menjadi antara punca peletakan jawatan bekas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim sebelum ini.
"Pahang memang skuad yang mantap pada musim ini tetapi perlu diingat kita juga pernah menewaskan pasukan itu sebelum ini termasuk pada aksi suku akhir pertama Piala FA di laman sendiri.
"Sudah pasti, kami tidak akan memberi muka kepada Pahang tetapi sebaliknya mahu membalas dendam apatah lagi malam esok merupakan aksi terakhir Liga Super di gelanggang sendiri pada musim ini," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.
Tchetche yang sudah meledak enam gol pada musim ini berkata, TFC I kini berada pada landasan baik untuk mencatatkan kemenangan terhadap Pahang yang kini berada di posisi kedua Liga Super.
Ujar pemain import kelahiran Ivory Coast itu, keputusan memberangsangkan pasukan terutama sejak empat aksi lalu telah melonjakkan kembali moral TFC I yang sebelum ini agak merundum berikutan pengunduran Irfan Bakti. - K! ONLINE

Ulasan