Langkau ke kandungan utama

Kuala Lumpur ke Liga Perdana musim hadapan

DIOGO SANTO meledak jaringan kedua bagi membantu JDT meraih kemenangan
DIOGO SANTO meledak jaringan kedua bagi membantu JDT meraih kemenangan ke atas Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Cheras.
KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur sah akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan selepas tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Cheras, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad City Boys berada di kedudukan tercorot liga dengan mengumpul 14 mata daripada 21 perlawanan setakat ini dan bakal melengkapkan aksi terakhir musim ini dengan pertemuan menentang Perak.
Felda United dilihat hampir pasti kekal dalam kancah Liga Super musim hadapan meskipun terikat seri 1-1 dengan PKNP FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Keputusan itu menyaksikan The Fighters dan PKNP masing-masing mengumpul 16 mata setakat ini dengan kedua-dua pasukan berisiko untuk tersingkir ke saingan Liga Perdana.
Bagaimanapun kelebihan berada di tangan Felda United kerana memiliki baki dua perlawanan musim ini berbanding PKNP yang memiliki hanya satu perlawanan lagi.
Aksi di Stadium Darul Aman menyaksikan Kedah menang 4-2 ke atas Perak manakala Selangor meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas PJ City FC di Stadium Shah Alam.
Juara Liga Perdana, Sabah terus cemerlang dengan meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan dalam aksi di Stadium Likas.
Aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menyaksikan Selangor United menang 3-1 ke atas Terengganu FC II manakala Negeri Sembilan tewas 2-3 kepada PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman.-UTUSAN ONLINE

Ulasan