KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur (KL) tewas 0-4 kepada kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, malam tadi.
Keputusan itu bagaimanapun tidak menutup peluang skuad ibu kota untuk terus kekal dalam saingan liga sama musim depan selepas dua lagi pasukan tercorot, PKNP dan FC FELDA United terikat 1-1 di Manjung, malam tadi.
KL kini tiada pilihan lain kecuali memastikan kemenangan pada aksi terakhir menentang Perak, 21 Julai ini.
Bagaimanapun keputusan menentang JDT itu adalah kekalahan keenam skuad ibu kota sejak kali terakhir mengecap kemenangan ketika menumpaskan PKNP FC 4-1 26 Mei lalu.
Terdahulu, ketika tuan rumah cuba memburu jaringan pembukaan, JDT lebih bernasib baik meraih gol pertama menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-15.
Walaupun masih mampu mengatur serangan, tuah nyata tidak memihak kepada tuan rumah. Namun pada minit ke-28, berpunca daripada kesilapan benteng tuan rumah melakukan perangkap offsaid untuk membuka peluang kepada Diogo Santo menambah gol kedua skuad Harimau Selatan.
Pada minit ke-54, bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani mempersiakan peluang terbuka selepas rembatan menuju tepat kepada penjaga gol lawan, Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Seterusnya, JDT lebih menguasai permainan dan hasilnya giliran Naz Faiz Mansor melakar nama selaku penjaring pada minit ke-61 sekali gus meletakkan tuan rumah makin tertekan.
Selepas sembilan minit, Diogo membuktikan nilainya cukup berharga buat JDT apabila menambah akaun jaringan peribadinya untuk meletakkan kedudukan 4-0.
Pada minit ke-80, Guilherme De Paula terus dihimpit kecewa kali ini tampanannya dalam kotak penalti melambung tinggi sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan Liga Super musim ini.
Ulasan
Catat Ulasan