Kes pemain JDT dijangkiti Influenza terkawal


PENGARAH Teknikal JDT, Alistair Edwards. NSTP/Mohd Azren Jamaludin
JOHOR BAHRU: Kejadian sekumpulan pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangkiti virus Influenza dianggap terkawal.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din, berkata seramai sembilan pemain skuad itu dijangkiti virus berkenaan sejak 2 Julai lalu.
“Jabatan ini mengesahkan kejadian kluster Influenza di kalangan pemain JDT. Lapan daripada kes itu disahkan sebagai Influenza B manakala seorang lagi disahkan menghidap Influenza A.
“Mereka sudah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor di sini dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian kluster itu selari dengan peningkatan kes Influenza yang berlaku pada musim hujan dan penularan berlaku kerana hubungan rapat sesama pemain.
Beliau menegaskan tiada wabak atau kejadian melampaui tahap biasa berlaku dan keadaan adalah terkawal.
Media kelmarin melaporkan, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata sekumpulan pemain kelab itu dijangkiti virus Influenza.
Sementara itu, Dr Shaharom berkata, beberapa tindakan awal diambil bagi mencegah penularan wabak berkenaan termasuk pembersihan serta nyahjangkitan pusat latihan pemain di Padang Seri Gelam di sini, selain suntikan vaksin kepada 31 orang pemain serta jurulatih.
“Kita juga melakukan promosi kesihatan tata cara kebersihan diri yang betul dan penggunaan pembersih tangan alkohol kepada kontak pesakit, selain pembekalan cecair pembersih itu di bilik rawatan pemain,” katanya.
Tamat

Ulasan