JOHOR BAHRU: Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pasukan dalam negara berjaya menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.
Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, petang tadi.
Turut hadir menyaksikan majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Anizam Jamian.
Mengikut rekod, JDT memenangi kejuaraan Liga Super buat pertama kalinya pada tahun 2014, kemudian diikuti pada tahun 2015, 2016, 2017, 2018 dan tahun ini.
Tahun lalu, kelab itu turut menerima empat pengiktirafan daripada MBOR iaitu antaranya menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada 2015.
Pengiktirafan juga diberi kerana kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bermula tahun 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan liga pada musim 2016.
-- BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan