JDT Semakin Menghampiri Angka 50 Mata Dalam Liga Super
Kejayaan menewaskan Perak, 3-0 dalam saingan Liga Super malam tadi memastikan skuad Harimau Selatan terus gah di persada liga dengan rekod tanpa kalah. Mereka adalah pasukan yang paling konsisten dalam Liga Malaysia setakat ini.
Selepas mengharungi 19 perlawanan, mereka kini telah mengumpulkan 49 mata hasil daripada 15 kemenangan dan 4 keputusan seri jauh meninggalkan pesaing terdekat seperti Pahang, Kedah, Selangor dan Perak.
Dalam perlawanan semalam, JDT yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut pada minggu lalu selepas menewaskan Melaka United 2-1 di tempat lawan, beraksi tanpa tekanan dan menguasai perlawanan sejak awal permainan.
Tuan rumah cuba memberikan tentangan sengit namun JDT ternyata berada dalam kelas tersendiri dan sukar untuk ditewaskan. Malah, Perak hampir memperolehi jaringan awal pada minit ke 5 tetapi rembatan Ronaldo Henrique Silva tersasar ke tiang kiri pintu gol lawan.
Penjaga gol JDT, Farizal Marlias juga beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada tuan rumah untuk memastikan gawangnya tidak mudah bolos. Skuad kendalian Mehmet Durakovic banyak bergantung kepada Raianderson Da Costa dan Ronaldo untuk melancarkan gerakan ke kubu JDT.
20 minit kemudian, pemain import JDT, Leandro Velasquez berjaya melepasi perangkap off side hasil hantara daripada Azrif Nasrulhaq lalu melepaskan rembatan dari jarak dekat untuk menewaskan Hafizul Hakim. Gol tersebut telah menyuntikkan semangat pemain JDT untuk terus memburu jaringan kedua.
37' | GOL LEANDRO!Leandro Velasquez bijak melepasi perangkap offside Perak untuk menewaskan Hafizul Hakim bagi gol pertama JDT di Ipoh malam ini!@peraktbgmy 0-1 @OfficialJohor#LigaSuper2019#MFLLive#PRKJDT pic.twitter.com/qPfxG678Jo— MFL LIVE (@MFL_Live) July 6, 2019
Memasuki separuh masa kedua, JDT tidak membuang masa untuk terus mengasak ke kubu Perak dan Leandro Velasquez sekali lagi melepaskan rembatan kencang melepasi Hafizul Hakim untuk mengukuhkan kedudukan dengan kelebihan dua gol pada minit ke 48.
48' | GOL LEANDRO!Leandro Velasquez sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' buat Perak apabila rembatan cantik beliau menggandakan kedudukan buat JDT!@peraktbgmy 0-2 @OfficialJohor#LigaSuper2019#MFLLive#PRKJDT pic.twitter.com/8pthDSvb1w— MFL LIVE (@MFL_Live) July 6, 2019
Tersentak dengan dua jaringan itu, Perak mula memperkemaskan corak permainan mereka dan cuba bangkit mencari gol namun masih buntu untuk melepasi benteng pertahanan lawan yang cukup berdisiplin.
Pemain gantian, Akhyar Rashid terus menambah luka tuan rumah menerusi gol ketiga pelawat selepas berada di atas padang kurang dari seminit untuk melengkapkan kemenangan juara bertahan itu.
90+3' | GOL AKHYAR!1-2 menarik dari Nazmi Faiz dan Akhyar Rashid pada minit-minit akhir perlawanan menghasil gol ketiga JDT!@peraktbgmy 0-3 @OfficialJohor #LigaSuper2019#MFLLive#PRKJDTpic.twitter.com/fRcY5sYN7Y— MFL LIVE (@MFL_Live) July 6, 2019
Keputusan tersebut juga bermakna Perak kini berada di tangga keenam dengan 27 mata dan semakin sukar untuk mempertahankan gelaran naib juara Liga Super yang diraih pada musim lepas.
Ulasan
Catat Ulasan