Langkau ke kandungan utama

JDT kunci mulut keadaan pemain

aidil zafuan

aidil zafuan
JUARA Liga Super enam kali, Johor Darul Takzim (JDT) terus mengunci mulut daripada mendedahkan senarai pemain mereka yang disahkan terkena jangkitan virus influenza sejak beberapa hari lalu.
Usaha media mengorek perkembangan terkini berhubung keadaan kesihatan 10 pemain JDT, empat pemain JDT II, tiga dari JDT III termasuk beberapa jurulatih serta kakitangan kelab bola sepak terbabit yang dijangkiti virus berkenaan sejak semalam menemui kegagalan.
Kelab tersebut dilihat lebih suka mengambil pendekatan berdiam diri dan enggan memberi sebarang maklumat yang boleh me­legakan kerisauan peminat berhubung keadaan pemain pasukan Harimau Selatan tersebut.
Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan, antara pemain yang terkena jangkitan virus ber­kenaan ialah Safawi Rasid dan Aidil Zafuan Abd. Radzak, namun tiada pengesahan dapat dilakukan setakat ini.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards memberitahu, 17 pemain termasuk 10 pemain skuad JDT dan beberapa jurulatih serta kakitangan kelab itu dijangkiti virus Influenza sejak kelmarin.
Beliau berkata pihak kelab tersebut telah mengambil langkah untuk mengawal penularan virus influenza berkenaan dan menghantar semua pemain, jurulatih dan kakitangan untuk pemeriksaan kesihatan.
“JDT juga telah melakukan proses sanitasi kawasan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk semua,” katanya.
Sehingga semalam, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak pengurusan JDT berhubung senarai pemain yang dijangkiti dan keadaan kesihatan terkini mereka.
Namun, difahamkan beberapa pemain masih lagi ditempatkan di wad hospital panel kelab berkenaan untuk rawatan lanjut.
Berlaku di seluruh dunia terutamanya di kawasan beriklim sederhana.
Terdapat tiga jenis virus influenza iaitu A, B dan C serta wujud dalam dua subjenis (H1N1 dan H3N2).
Virus tersebar melalui bawaan udara terutamanya di tempat sesak dan tertutup.
Jangkitan juga berlaku melalui hubungan secara langsung dengan titisan cecair yang tersebar semasa batuk dan bersin serta tangan yang tercemar.
Gejala awal termasuk demam secara tiba-tiba, sakit tekak, batuk, berasa seram sejuk, sakit kepala dan sakit otot.
Jangkitan berlaku lebih teruk dalam kalangan warga tua dan kanak-kanak. Ia boleh menyebabkan maut terutamanya warga emas dan pesakit kronik.

Ulasan