Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva mengeluarkan bola dalam saingan Liga Super Perak menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
IPOH: Perak gagal meleburkan rekod tanpa kalah pasukan yang sudah dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini, Johor Darul Takzim (JDT) yang merakam kemenangan 3-0 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Anak buah Benjamin Mora juga bukan hanya bertahan namun melakukan serangan berbahaya yang akhirnya disempurnakan Leandro Velazquez dengan jaringan pertama pada minit ke-37.
Babak pertama tamat dengan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic gagal mencari gol penyamaan.
Bersambung separuh masa kedua, ketika perlawanan baru tiga minit berlangsung gawang Perak sekali lagi bolos melalui jaringan cantik Velazquez yang merembat kencang dari luar kotak penalti.
Ketika Perak berusaha mengatur gerakan untuk merapatkan jurang, JDT sebaliknya berjaya menambah jaringan menerusi Akhyar Rashid pada minit ke-90.
Kemenangan berkenaan melebarkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan kepada 15 kemenangan dan empat seri membabitkan 19 perlawanan Liga Super musim ini.
JDT kini mengumpul keseluruhan 49 mata di takhta liga manakala Perak pula menghuni tangga keenam dengan 27 mata.
Ulasan
Catat Ulasan