JOHOR BAHRU: Juara Liga Super enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak boleh menganggap laluan dalam Kumpulan B tampak mudah tatkala akan memulakan kempen Piala Malaysia menentang UiTM FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat ini.
Selain diundi bersama skuad bimbingan Ismail Zakaria, skuad Harimau Selatan turut berdepan laluan berliku tatkala akan menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dan PKNP FC yang memiliki kelebihan tersendiri.
Persembahan pada dua perlawanan penghujung liga yang menyaksikan JDT gagal mencipta kemenangan ketika beraksi di laman sendiri mengundang kebimbangan sama ada pasukan yang dibimbing Luciano Figueroa dan Benjamin mampu mengulangi kejayaan merangkul kejuaraan piala berprestij pada musim 2017 ketika itu di bawah bimbingan Ulisses Morais.
Kekalahan kepada PJ City FC 0-1 dan kemudian seri 3-3 dengan Terengganu FC (TFC) menyerlahkan kepincangan barisan pertahanan skuad Harimau Selatan dan situasi itu sudah cukup memberi pengajaran berguna buat pasukan itu untuk kembali bangkit dengan persembahan yang lebih konsisten.
Apapun kelibat Diogo Luis Santo harus lebih tajam untuk melakukan penyudah tepat dan tidak lagi sering tersasar yang dilihat merugikan buat skuad JDT yang tidak boleh terlepas mengutip tiga mata pada aksi pertama itu.
Malah JDT juga tidak boleh menganggap lawan mereka, UiTM FC mudah dijinakkan memandang pasukan dari Liga Perdana itu mampu melakar kejutan apabila turun dengan persembahan mantap dalam usaha menewaskan skuad Harimau Selatan.
Di posisi sayap kelicikan Safawi Rasid sekali lagi akan menjadi pertaruhan untuk bergerak di sayap kanan dan Gonzalo Cabrera akan mengemudi sayap kiri dan kedua-dua pemain itu akan menjadi senjata utama JDT memburu kemenangan.
Kelibat Hariss Harun yang dianggap pemain paling menyerlah sepanjang kempen liga elit domestik terus akan diberi tugas mengemudi jentera tengah dan perlu bijak mengekang kelicikan penyerang utama UiTM FC, Zarko Korac.
Jika posisi tengah gagal berfungsi, kemungkinan JDT akan berdepan masalah besar kerana UiTM FC mampu hadir memberi ancaman dengan corak permainan pantas dan tersusun dan setiap pemain Harimau Selatan tidak boleh leka walaupun sesaat bagi mengelak tragedi kekalahan di laman sendiri berulang.
Ulasan
Catat Ulasan