PELBAGAI program pembangunan dan kemudahan disediakan Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat sebagai model terbaik kepada kelab bola sepak lain di rantau ini.
Pemenang piala dunia bersama Perancis yang juga bekas bintang Arsenal, Robert Pires berkata, pembangunan JDT boleh dijadikan model oleh kelab bola sepak lain di rantau ini.
"Saya teruja melihat pembangunan bola sepak di Johor dan ternyata ia semestinya daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Tunku Mahkota Johor) yang mempunyai minat mendalam dalam sukan ini.
"Ini adalah satu pengalaman berharga (bermain di Johor) dan saya harap peminat yang hadir semalam berpuas hati dengan aksi dipamerkan," katanya.
Rakan senegara yang juga bekas bintang Fulham dan Manchester United, Louis Saha berkata, walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki ke Johor, ia satu pengalaman amat bermakna buat dirinya sebagai pemain bola sepak.
Katanya, teruja melihat pembangunan JDT dan menyifatkan peluang bermain di Johor dengan bersetuju menjayakan perlawanan amal 'JDT All Stars' adalah tidak sia-sia.
"Semalam saya bermain di Stadium Larkin, hari ini bertemu peminat dan menjayakan Klinik Kejurulatihan bersama Akademi JDT, memang sangat mengujakan.
"Kemudahan dan aset yang ada memang terbaik dan ada kelas tersendiri, sememangnya mampu menarik ramai pemain luar tertarik berhijrah ke sini," katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, pemain legenda dan bekas bintang dunia yang menyertai perlawanan amal JDT All Stars hadir ke Pusat Latihan Padang Seri Gelam di sini bagi menjayakan Klinik Kejurulatihan bersama Akademi JDT selain beramah mesra bersama lebih 200 peminat yang hadir.
Turut berangkat, Tunku Ismail dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustama.
Ulasan
Catat Ulasan