BERGELAR juara enam kali liga berturut-turut tidak bermakna pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah berpuas hati dan selesa dengan pencapaian dimiliki.
Sebaliknya pasukan itu bertekad meneruskan kecemerlangan dan bekerja lebih keras mengekalkan mentaliti kemenangan.
Pengurus pasukan, Luciano Figueroa berkata, pemain dan pengurusan tahu berada dalam JDT mereka perlu berikan komitmen lebih 100 peratus setiap perlawanan dan cuba menang kesemuanya.
"JDT ada arah tuju dan gaya permainan tersendiri yang perlu kami kekalkan kerana inilah gaya JDT sejak 2013 yang memberikan keputusan yang baik.
"Kami perlu teruskan dan berkerja lebih keras lagi untuk kekalkan mentaliti kemenangan ini.
"Pasti ada pasukan yang akan memberikan cabaran dan kami perlu sentiasa bersedia untuk itu dalam mengekalkan apa yang kami sudah capai selama ini," katanya di Stadium Perak, semalam.
Dalam perlawanan itu, Perak gagal meleburkan rekod tanpa kalah JDT apabila tumpas 0-3 hasil jaringan Leandro Velazquez pada minit ke-37 dan 48 serta Akhyar Rashid pada penghujung perlawanan.
Figueroa berkata, pihaknya tidak mahu memikirkan tentang pasukan lain dan hanya fokus kepada hala tuju JDT namun tidak mengabaikan cabaran bagi setiap perlawanan mendatang.
"Kami adalah kelab yang besar, dan kami bertuah dapat berada dalam kelab ini, jadi kami harus teruskan prestasi baik dan mengharungi cabaran setiap perlawanan sebaik mungkin walaupun kami sudah menjuari liga musim ini.
"Tiada perlawanan yang mudah semuanya ada cabaran tersendiri dan kami perlu bersedia untuk setiap perlawanan. Walaupun sukar kami akan sentiasa berusaha untuk menang," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan memikirkan untuk menurunkan pemain simpanan bagi kesebelasan utama dalam baki perlawanan liga musim ini.
"Anak buah saya menunjukan mereka bersedia dengan pengiliran pemain ini
"Sekarang tiba masanya merehatkan beberapa pemain namun tidak mengabaikan baki perlawanan untuk kekalkan rekod baik dan kami juga perlu bersedia untuk Piala Malaysia," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan