Isyarat '6' Ronaldo curi tumpuan

PERKONGSIAN Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang pertemuannya de­ngan bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo baru-baru ini mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.



CRISTIANO RONALDO (kiri) menunjukkan isyarat 6 bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Biarpun ini bukanlah pertemuan pertama Tunku Mahkota Johor (TMJ) dengan bintang penyerang Portugal tersebut, namun gambar yang dimuat naik Tunku Ismail kali ini cukup istimewa.
Ronaldo, 34, yang kini me­nyarung jersi juara Serie A, Juventus menunjukkan isyarat enam iaitu sebagai tanda kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Liga Super buat musim keenam berturut-turut.
Ramai peminat menganggap JDT ibarat Juventus ‘Malaysia’ kerana gergasi bola sepak Eropah itu menguasai liga Itali untuk tempoh yang amat panjang.
Jika JDT mempertahankan gelaran Liga Super enam musim berturut-turut, Juventus pula adalah pemilik kejuaraan Serie A selama lapan musim berturut-turut.
Tunku Ismail tidak menyatakan di mana dan bilakah pertemuan tersebut diadakan, namun pemilik JDT itu hanya menulis kapsyen: “Great minds think alike. JDT 6 League Title”.
Perkongsian TMJ itu me­nerima pelbagai reaksi positif daripada warganet, yang rata-rata menyatakan rasa bangga dengan pencapaian Harimau Selatan sambil mengucapkan tahniah.
JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super pada 26 Jun lalu ketika saingan musim ini masih berbaki empat perlawanan selepas mengalahkan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat.

Ulasan