KUALA LUMPUR: Pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa menghamburkan pujian terhadap skuad kendaliannya yang mempamerkan karakter 'sang juara' ketika membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan kekal kebal tanpa sebarang kekalahan dan apa yang dipamerkan pemain menjadikan misi mereka untuk mengakhiri musim tanpa kalah semakin menjadi kenyataan.
"Satu perlawanan yang bagus dan saya gembira dengan pasukan ini malah pemain juga bekerja keras. Empat gol bukan satu tugas senang dan seluruh pasukan wajar diberikan pujian," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Diogo Santo meledak dua gol pada minit ke-28 dan 70. Dua gol lagi dijaringkan Gonzalo Cabrera pada minit ke-15 dan Nazmi Faiz Mansor (m-61).
"Tidak ada apa-apa rahsia cuma kami sentiasa bermain dengan cara sendiri. Kami cuba untuk menang semua perlawanan namun ada kalanya tidak berjaya," katanya.
Sementara itu, Jurulatih sementara Kuala Lumpur, Rosle Md Derus Rosle Md Derus berkata pasukannya dihukum JDT selepas beberapa kesilapan yang dilakukan.
"Secara keseluruhan, daripada prestasi saya berpuas hati cuma apabila berlaku kesilapan ketika menentang pasukan terbaik di negara ini, walaupun kecil kami tetap dihukum," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan