ENAM PERKARA MENARIK MENGENAI PERLAWANAN ‘JDT ALL-STARS FRIENDLY’

ENAM PERKARA MENARIK MENGENAI PERLAWANAN ‘JDT ALL-STARS FRIENDLY’
Kegembiraan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kejayaan kali keenam berturut-turut Liga Super Malaysia telah ditambah lagi dengan berlangsungnya perlawanan ‘JDT All-Stars Friendly’ pada 30 Jun 2019 melibatkan ramai bekas bintang handalan dunia bola sepak.
Enam perkara menarik dapat dilihat di sebalik perlawanan ‘JDT All-Stars Friendly’ di mana ianya melibatkan pertembungan bersejarah antara pasukan JDT TMJ menentang ‘JDT Rest Of The World’ dalam perlawanan yang telah berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos.
1. LEGENDA DUNIA
Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos sekali lagi berjaya menarik nama-nama besar pemain bola sepak dunia untuk bermain di sini. Sebelum ini beberapa pemain ternama seperti Marco Reus, Pierre-Emerick Aubameyang, Mario Götze, Shinji Kagawa serta beberapa pemain ternama dunia pernah bermain di Stadium keramat Harimau Selatan ini.
Kini giliran pemain-pemain legenda sepanjang zaman seperti pemenang Ballon d'Or dan FIFA World Player of the Year (1999), Rivaldo Vítor Borba Ferreira, legenda Chelsea FC, Florent Johan Malouda dan pemain skuad juara tanpa kekalahan Arsenal FC (2003–04) English Premier League, Robert Emmanuel Pires.
Juga pencetus kekasaran legenda ‘Zidane head-butting’ pada final Piala Dunia (2006), Marco Materazzi, pemain lincah yang sering diingati berikutan sering beraksi dengan memakai cermin mata pelindung kerana menghidapi glaucoma, Edgar Davids dan beberapa lagi pemain legenda yang kebanyakannya sudah merasai pengalaman mendakap Piala Dunia.
2. AKSI DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR
Sebelum ini, penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) jarang berpeluang menyaksikan aksi-aksi dan bakat DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam permainan bola sepak.
Namun pada kali ini 17,210 penyokong yang hadir di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos bertuah kerana dapat melihat dengan jelas bahawa baginda merupakan seorang yang amat berbakat dalam bidang sukan ini.
Malah menjadi satu bonus apabila baginda juga telah menjaringkan satu gol cantik menewaskan Izham Tarmizi, penjaga gol JDT yang sudah merasai 6 kejuaraan Liga Super Malaysia sejak 2014.
3. KELUARGA JDT
Antara perkara menarik berlaku pada 30 Jun 2019 ialah penyokong JDT telah dibawa untuk kembali mengimbau kenangan manis bersama segelintir bekas individu yang pernah mewarnai hari-hari dalam perjalanan menuju kegemilangan dan kejayaan JDT.
Bekas pemain seperti Safee Sali, Amri Yahyah, Junior Eldstal dan Safiq Rahim telah mengubat kerinduan penyokong Harimau Selatan pada aksi dan gaya mereka ketika menyarung jersi JDT. Kemuncak elemen kejutan kepada penyokong pada malam tersebut apabila kemunculan dua bekas Ketua Jurulatih yang pernah bersama-sama berganding bahu iaitu Ulisses Morais dan Raúl Longhi.
Penampilan khas mereka pada malam tersebut adalah atas jemputan DYAM Tunku Mahkota Johor serta telah diundang memainkan peranan sebagai Ketua Jurulatih pada malam tersebut. Morais membimbing pasukan ‘JDT Rest Of The World’ manakala Raul untuk pasukan JDT TMJ.
Penampilan individu-individu ini membuktikan bahawa DYAM Tunku Mahkota Johor tidak sesekali melupakan jasa-jasa mereka kepada kelab biarpun pada situasi terkini individu ini tidak lagi bersama JDT. Ia juga menjelaskan bahawa slogan ‘Sekali JDT, Selamanya JDT’ adalah sebuah kenyataan yang benar termaktub dan bukannya sekadar kata-kata manis penyedap hati.
4. PENYOKONG BERTUAH
Pada malam itu, bagai sebuah mimpi yang menjadi kenyataan bagi dua orang penyokong setia JDT iaitu Farhan dan juga Satish. Kedua-dua individu ini adalah pemenang yang telah dipilih melalui sebuah pertandingan video pendek yang telah dianjurkan oleh pengurusan Southern Tigers Sdn Bhd.
Sebagai hadiah, kedua penyokong bertuah ini telah dikurniakan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor peluang bermain bersama-sama baginda dan juga pemain-pemain legenda dunia, JDT serta jemputan kehormat. Ini merupakan suatu pengalaman yang begitu berharga malah sudah tentu akan diingati mereka berdua sampai bila-bila.
5. TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Dalam masa bersuka-ria serta meriah menjulang keunggulan JDT sebagai juara kali keenam berturut-turut dalam Liga Super Malaysia, DYAM Tunku Mahkota Johor tidak melupakan tanggungjawab sosial ke atas mereka yang kurang bernasib baik dan berjuang untuk hidup.
Maka dengan itu, perlawanan yang dianjurkan merupakan perlawanan amal malah menjadi platform untuk baginda menyampaikan penghargaan yang tinggi ke atas mereka. Pihak pengurusan tidak mengutip sebarang laba atau mengambil kesempatan atas perlawanan tersebut.
Untuk makluman sebanyak RM600,000.00 berjaya dikumpul hasil dari kutipan tiket dan sekitar RM80,000.00 dari pengurusan serta pemain JDT. Kesemua kutipan tersebut telah disumbangkan serta diagihkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser kebangsaan Malaysia dan Womens Aids Organisation.
6. HADIAH KEPADA PENYOKONG
Perlawanan ini merupakan hadiah yang tidak ternilai dikurniakan DYAM Tunku Mahkota Johor kepada penyokong Harimau Selatan. Perkara ini jelas apabila dengan serendah RM20.00, penyokong dihidangkan dengan aksi-aksi klasikal pemain-pemain legenda dunia ini.
Larian kencang Edgar Davids, ketangkasan David Sergio Trezeguet, tandukan terbang malah hatrik dari Florent Malouda serta aksi-aksi menghiburkan Bebeto serta Claudio Caniggia benar-benar berbaloi bagi sesiapa yang menyaksikannya. Empat belas gol berjaya membuatkan penyokong pulang dengan senyuman yang tidak lekang dari raut wajah.
Akhir kata, perlawanan ‘JDT All-Stars Friendly’ ini bukan sekadar perlawanan bola sepak atau perlawanan amal semata-mata. Ia juga sebuah perlawanan yang telah memerangkap penyokong ke dalam ruang waktu zaman silam. Ia satu nostalgia yang merangkumi kenangan zaman kanak-kanak, waktu remaja juga kenangan manis bersama orang-orang yang telah meninggalkan kita.
Terima Kasih TMJ! Ucapan terima kasih yang tiada terkira dari kami!
Sumber artikel: Media JST

Imej mungkin mengandungi: 22 orang, orang senyum, orang ramai

Ulasan