Disinfeksi pusat latihan pemain JDT


JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil tindakan awal mencegah penularan virus influenza dialami pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) terutamanya mendisinfeksi (membasmi kuman) pusat latihan pemain bola sepak di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, hari ini.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) JKNJ, Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata, pembersihan itu dilakukan dari masa ke semasa sebagai langkah pencegahan dan kawalan.
"Tindakan awal sudah diambil bagi mencegah penularan seterusnya iaitu dengan disinfeksi pusat latihan pemain bola sepak di Padang Seri Gelam yang mana pembersihan dari masa ke semasa perlu dijalankan sebagai langkah pencegahan dan kawalan.


"Kita juga memberi suntikan prophylaxis - vaksin influenza PFS kepada 31 orang termasuk pemain dan jurulatih, selain menjalankan promosi kesihatan tatacara kebersihan diri yang betul dan penggunaan 'alcohol hand rub' kepada kontak pesakit yang turut dibekalkan di bilik rawatan pemain," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada masa sama, beliau mengesahkan kejadian kluster influenza dalam kalangan pemain JDT membabitkan lapan pemain yang menghidap influenza B, manakala seorang lagi disahkan menghidap influenza A.
"Mereka menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor dan kini dalam keadaan stabil," katanya.
Menurut Dr Shaharom, kejadian kluster influenza itu selari dengan peningkatan kes influenza yang dijangka berlaku pada musim hujan dan penularan berlaku kerana hubungan rapat sesama pemain.
Bagaimanapun, katanya, tiada wabak atau kejadian melampaui tahap biasa dan keadaan masih terkawal.
"Influenza adalah penyakit yang disebabkan virus yang berjangkit melalui sistem pernafasan dengan gejala utama seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot dan kelesuan.
"Gejala dan tanda jangkitan adalah berbeza mengikut kategori usia mereka yang dijangkiti dan wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema yang ringan pada orang biasa, tetapi boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis.
"Kebanyakan demam selsema yang dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan virus influenza bermusim antara lainnya membabitkan influenza A atau influenza B," katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan salur pernafasan, JKNJ ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi selain menjadikan amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun
atau 'hand sanitiser'.
"Orang ramai juga perlu mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat.
"Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan salur pernafasan adalah dinasihatkan berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat awam, namun sekiranya perlu ke tempat awam, dinasihatkan memakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelak penularan jangkitan melalui titisan
pernafasan.
"Juga diingatkan menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin dan seterusnya, tisu yang sudah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah," katanya.
Selain tu, katanya, mereka yang mengalami gejala itu perlu mengelak daripada berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu lain.
Menurutnya, permukaan objek seperti lantai dan meja yang tercemar dengan rembesan cecair hidung dan mulut juga perlu dibersihkan.
"Orang awam diminta segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk atau sakit tekak berterusan.
"Golongan berisiko juga digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim dari mana-mana fasiliti kesihatan swasta," katanya.

Ulasan