CABARAN GETIR MENANTI JDT DALAM BAKI PERLAWANAN LIGA SUPER MALAYSIA 2019
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengharungi empat lagi baki perlawanan pada bulan Julai ini sebelum Liga Super Malaysia 2019 menutup tirainya. Walaupun sudah dinobatkan sebagai juara liga untuk kali keenam, barisan pemain JDT masih lagi perlu fokus mengekalkan tahap kecergasan tanpa memandang remeh baki perlawanan berikutnya.
1. PERAK MENENTANG JDT (STADIUM IPOH, PERAK)
JDT bakal bertandang ke Stadium Ipoh, Perak pada 6 Julai 2019, menentang pasukan yang berada di tangga kelima Liga Super Malaysia. Cabaran getir menanti skuad Harimau Selatan memandangkan Perak memerlukan kutipan mata penuh bagi persaingan perebutan tangga kedua Liga Super Malaysia yang masih lagi terbuka.
Bagi para pemain JDT pula yang baharu menerima suntikan moral berikutan perlawanan berprestij 'JDT All-Stars Friendly’ tempoh hari, pastinya tidak akan memberi peluang bagi pesaing melunaskan impian tersebut. JDT tetap hadir dengan keinginan tinggi untuk meneruskan rentak kemenangan.
2. JDT MENENTANG PJ CITY FC (STADIUM TAN SRI DATO' HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN)
Empat hari selepas perlawanan menentang Perak, JDT akan menerima kunjungan PJ City FC di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada hari Rabu, 10 Julai 2019. Perlawanan ini juga dilihat amat penting dalam misi mengekalkan rekod kebal dan kemenangan mutlak di halaman sendiri.
Pastinya sokongan penuh ditagih dari penyokong Merah Biru untuk memenuhi stadium kebanggaan kita ini supaya diolah menjadi tonik pemacu semangat keseluruhan pemain Harimau Selatan untuk terus berjuang bermati-matian mempertahankan reputasi dan martabat Empayar Harimau Selatan.
3. KUALA LUMPUR MENENTANG JDT (STADIUM KLFA, CHERAS)
Selepas aksi di Stadium Larkin, JDT dijadualkan bertemu pasukan Kuala Lumpur FA (KLFA) di tempat lawan. Cabaran pasukan KLFA juga tidak boleh dipandang remeh memandang skuad itu terdesak untuk keluar dari kelompok dasar liga.
Kemenangan 4-1 JDT ke atas KLFA pada pusingan pertama Liga Super Malaysia 2019 adalah kemenangan paling besar yang telah dicatatkan oleh JDT pada musim ini. Namun rekod itu tidak boleh dijadikan ukuran di mana keseluruhan barisan pemain perlu kekal fokus mempamerkan permainan membanggakan serta displin yang tinggi untuk menghadiahkan depresi kepada tuan rumah kelak.
4. JDT MENENTANG TERENGGANU FC (STADIUM TAN SRI DATO' HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN)
Umum mengetahui, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah mengisytiharkan sambutan meraikan kejayaan terbilang sebagai juara keenam berturut-turut Liga Super Malaysia akan berlangsung pada 19 Julai 2019.
Jangkaan tarikh yang sama Harimau Selatan akan turun buat kali terakhir di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos pada musim ini untuk melayani kunjungan Terengganu FC. Para penyokong diseru supaya tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama-sama memberi sokongan padu agar menjadi memorabilia indah penutup musim cemerlang JDT pada tahun 2019.
Akhir kata, perkara yang paling penting dalam mencapai impian adalah kebangkitan. Kerana elemen utama itu DYAM Tunku Mahkota Johor gubah untuk mencipta sebuah kejayaan. Semoga kita sentiasa setia bersama menyokong baginda dalam perjuangan memburu lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Selamanya Merah Biru!
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan