KUALA LUMPUR – Aksi konsisten yang ditunjukkan Johor Darul Ta’zim (JDT), termasuk ketika membenam Kuala Lumpur 4-0 semalam, memberi keyakinan kepada Harimau Selatan untuk menutup tirai Liga Super dengan rekod tanpa kalah.
Selepas mengharungi 20 perlawanan, JDT yang sudahpun dinobat sebagai juara musim keenam berturut-turut bulan lalu, melakar 16 kemenangan dan empat keputusan seri.
Lebih menggembirakan pengurusnya, Luciano Figueroa, tujuh daripada kemenangan itu dilakar di tempat lawan.
“Saya amat gembira dengan prestasi pemain, yang mempamer permainan cemerlang malam ini. Mengalahkan Kuala Lumpur 4-0 bukan keputusan mudah, saya sangat gembira.
“Tiada sebarang rahsia atas kejayaan kami kerana apa yang kami lakukan hanya mengekalkan gaya permainan dalam setiap perlawanan.
“Itu yang akan kami lakukan sehingga hujung musim,” kata Figueroa selepas tamat aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus mengakui, kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan mudah dilakukan barisan pertahanan skuad warga kota, sambil menambah JDT berada pada kemuncak prestasi mereka.
Beliau, bagaimanapun berkata, pasukan akan cuba mencipta kejutan ke atas finalis Piala FA, Perak pada aksi terakhir liga di tempat lawan pada 21 Julai ini dalam usaha kekal beraksi pada saingan Liga Super musim depan.
Kekalahan ke atas JDT itu menyaksikan Kuala Lumpur menghuni tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan kutipan 14 mata daripada 21 perlawanan.
“Kami tidak anggap sudah tiada harapan (untuk kekal dalam Liga Super musim depan), dan akan cuba meraih kemenangan pada perlawanan terakhir,” kata Roslee.
JDT akan menentang PJ City (Selasa ini), diikuti Terengganu pada 19 Julai.
“Berdasarkan perlawanan malam ini, kami cipta banyak peluang, namun tidak dapat menjaringkan gol.
“Kami kena terus berusaha walaupun kami ketinggalan pada perlawanan terakhir nanti, dan saya kena berikan semangat kepada pemain supaya jangan putus asa,” jelas Roslee. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan