PERTAHANAN import Terengganu FC (TFC), Serhii Andrieiev sedia merantai penyerang bahaya PKNS FC yang menjadi penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Kpah Sherman daripada bergerak bebas apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.
Bekas pemain Terengganu FC ll (TFC ll) yang baru dinaikkan 'pangkat' itu juga bertekad mahu memberikan aksi terbaik bagi membantu naib juara Piala Malaysia musim lalu mengharungi cabaran hingga ke final.
Pemain kelahiran Ukraine itu juga berazam membalas kepercayaan dan peluang diberikan pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain biarpun sedar faktor keserasian bersama rakan sepasukan perlu ditingkatkan.
"Memang ada sedikit kelainan apabila bermain dengan TFC berbanding ketika menyarung jersi bekas pasukan terutama daripada segi kualiti dan falsafah permainan kerana ia pada satu tahap yang lain.
"Bagaimanapun saya akan cuba memperagakan aksi terbaik dan lebih mantap bagi membantu pasukan menewaskan PKNS.
"Saya juga sudah bersedia menyekat penyerang utamanya, Sherman daripada bergerak bebas kerana pemain itu cukup bahaya jika tidak dikawal ketat," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Gong Badak, petang semalam.
Pada penampilan sulungnya bersama Penyu ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir liga 19 Julai lalu, Andrieiev meledak satu gol ketika pasukannya terikat 3-3 dengan juara Liga Super itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Sementara itu, Nafuzi menyatakan bekas pemain TFC II itu sudah menunjukkan prestasi baik biarpun pertama kali beraksi bersama pasukan ketika bertemu JDT.
"Dia (Andrieiev) bukan saja mampu bertahan dengan baik ketika perlawanan dengan JDT, malah berjaya menjaringkan satu gol yang sangat bermakna,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan