KUALA NERUS - Pemain pertahanan Terengganu FC (TFC) Serhii Andrieiev menjanjikan aksi terbaik untuk memastikan benteng pertahanan skuad Penyu sukar ditembusi pada saingan Piala Malaysia yang membuka tirai Jumaat ini.
Pemain kelahiran Ukraine itu berkata beliau tidak mahu mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh pemangku jurulatih TFC, Nafuzi Zain serta rakan sepasukan baharunya dan akan diterjemahkan ketika TFC menerima kunjungan PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
"Memang ada sedikit kelainan apabila bermain dengan skuad 'abang' (TFC) berbanding ketika dengan pasukan asal iaitu TFC ll terutama daripada segi kualiti atau falsafah permainan kerana ia adalah di satu tahap yang lain.
"Bagaimanapun saya akan cuba sehabis baik untuk mempamerkan aksi lebih mantap bagi membantu pasukan memenangi perlawanan pertama itu nanti," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad Penyu di Stadium Gong Badak.
TFC terpaksa menagih khidmat Andrieiev untuk memantapkan posisi pertahanan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia selepas beberapa tonggak utama termasuk Wan Ahmad Amirzarfran Wan Nadris dan Thierry Chantha Bin mengalami kecederaan serius dan terpaksa direhatkan hingga tamat Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sementara itu, Nafuzi berkata pemain berusia 29 tahun itu telah menunjukkan prestasi baik dengan menjaringkan satu gol pada penampilan sulungnya bersama TFC iaitu ketika perlawanan terakhir Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari yang berkesudahan seri 3-3.
Oleh itu, beliau meletakkan harapan tinggi terhadap Andrieiev bagi membantu Terengganu menghadapi cabaran lebih kental selepas diundi dalam kumpulan A yang juga kumpulan 'maut' bersama PKNS FC, Negeri Sembilan dan Kedah yang baru sahaja menjulang Piala FA musim ini.
“Dia bukan sahaja mampu bertahan dengan baik ketika perlawanan dengan JDT, malah berjaya menjaringkan satu gol yang sangat bermakna.
"Oleh itu saya menuntut Andrieiev mempamerkan aksi lebih mantap dan bertenaga kerana Piala Malaysia ini cabarannya lebih sengit," katanya.- BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan