Ujian getir JDT berdepan Selangor


KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa (kiri) memberi arahan kepada Safawi Rasid. NSTP/Effendy Rashid




JOHOR BAHRU: Ujian getir menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) tatkala melayani kunjungan Selangor pada pertembungan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Keputusan seri 1-1 ketika menentang PKNP FC pada aksi Jumaat lalu bukanlah keputusan yang diinginkan skuad Harimau Selatan kerana mengidamkan kemenangan bagi menjarakkan lagi kedudukan mata dengan pencabar terdekat Pahang.
Walaupun masih mengekalkan tangga teratas liga selepas mengharungi 16 perlawanan dan mengumpul 40 mata, JDT tidak boleh lagi keciciran mata untuk merealisasikan impian memburu kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut, sebaliknya harus tampil lebih agresif bagi menjinakkan skuad The Red Giants.
Mengikut perkiraan, JDT memerlukan tiga kemenangan dari baki enam perlawanan bagi mengesahkan kejuaraan liga dan pertembungan menentang skuad kendalian B Sathianathan menjadi ukuran sebenar skuad kendalian Luciano Figueroa dan Benjamin Mora mencipta kemenangan di laman sendiri.
Sudah tentu Figueroa dan Mora sudah merencana strategi lebih ampuh selepas aksi menentang PKNP FC tampak tidak begitu baik dan tidak lagi terlalu bergantung kepada nasib untuk memburu kemenangan.
Jika diimbas kembali kenyataan Figueroa, rata-rata pasukan lawan yang menentang JDT akan beraksi bermati-matian untuk berusaha menewaskan mereka malah senario itu pasti memberi cabaran getir buat JDT yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah pada musim ini.
"Keputusan seri dengan PKNP FC, baru-baru bukanlah yang kami inginkan dan kami tidak beraksi dengan baik pada perlawanan itu dan mahu melupakan perkara yang lepas, sebaliknya kami kini memberi tumpuan untuk aksi menentang Selangor.
"Selangor adalah pasukan yang hebat dan kami harus berwaspada dengan corak permainan lawan dan mereka akan turun untuk cuba mengecewakan kami namun kami bersedia untuk beri tentangan pada perlawanan itu nanti," kata Figueroa.
Apapun Figueroa dan Mora bakal melakukan rombakan di posisi tengah kerana tidak dapat menurunkan Afiq Fazail selepas pemain itu digantung satu perlawanan akibat layangan kad merah ketika aksi menentang PKNP FC, Jumaat lalu.
Namun situasi itu tidak merisaukan kem JDT tatkala mereka dibarisi pemain yang berkualiti untuk mengisi kekosongan Afiq dan kemungkinan Syamer Kutty Abba akan beraksi berganding bersama Hariss Harun dan Leandro Velazquez dengan formasi 4-3-3.

Ulasan